Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA minta Akmal jangan perbesarkan isu stoking KK Mart
Diterbitkan:  Mar 17, 2024 7:08 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

MCA meminta Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh supaya tidak "memperbesar-besarkan" isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon berkata Akmal juga tidak seharusnya membuat gesaan agar rangkaian kedai itu diboikot secara semberono.

"Saya juga ingatkan Ketua Pemuda Umno supaya tidak memperbesar-besarkan isu stoking KK Mart, dan jangan bermain taktik boikot membabi buta, jika tidak, yang menjadi mangsa tetap negara kita sendiri," kata Chong dalam hantaran di Facebook.

Rabu lalu, pengendali rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak disiasat oleh polis memandangkan pihak berkuasa itu tidak menerima sebarang laporan.

Susulan itu, Akmal berkata, anggota sayap Pemuda Umno di seluruh negara akan mula membuat laporan polis.

Dia turut menyeru rakyat Malaysia memboikot KK Mart sebagai pengajaran kepada syarikat terbabit.

"Buat dulu lepas tu minta maaf. Semudah itu sahaja. Kalau Starbucks kita boleh boikot sampai tutup, apatah lagi pasaraya ni.

“Hormat ini bukan hanya sekadar minta maaf, tetapi perlu tahu apa nilai dan sensitiviti orang lain. Kita ajar kepada yang kurang ajar.

"Ayuh semua rakyat Malaysia, kita tunjukkan kepada mereka yang kurang ajar ini, bahawa negara ini masih lagi ada orang yang boleh mengajar mereka yang kurang ajar," katanya dalam video yang disiarkan di Facebook.

Akmal turut menggesa syarikat kedai serbaneka itu menggantung kain rentang permohonan maaf berhubung kejadian itu di kesemua 881 cawangannya di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS