Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ada tak KK Super Mart naikkan permohonan maaf di kedai mereka?'
Diterbitkan:  Mar 18, 2024 9:49 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Pemuda Umno hari ini mendesak agar siasatan kes stoking tertera kalimah Allah disiasat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan pesalahnya dikenakan hukuman paling berat.

Ketuanya, Akmal Saleh, berkata gesaan itu dibuat selepas sayap Umno terbabit membuat sekurang-kurangnya 13 laporan polis di seluruh negara semalam.

Katanya jika sebelum ini siasatan tidak dapat dijalankan kerana tiada laporan polis dibuat, kini tidak ada lagi alasan mengapa ia tidak boleh dibuat.

"Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah hasil siasatan daripada laporan ini.

"Kami meminta agar ia disiasat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan diberikan hukuman yang sekeras-kerasnya agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin bermain isu 3R ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Istilah 3R merujuk kepada isu berkaitan raja-raja Melayu, agama dan perkauman.

Kenyataan itu dibuat sebagai respon Pemuda Umno terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart yang didapati menjual stoking yang memaparkan kalimah Allah.

Ia dikesan di salah satu cawangan kedai itu di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Pemilik syarikat itu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, sudah membuat permohonan maaf secara terbuka pada 14 Mac lalu.

Bagaimanapun setakat ini Pemuda Umno terus menyeru orang ramai agar terus memboikot KK Super Mart di seluruh negara sehinggalah mereka menaikkan kain pemidang memohon maaf di semua 881 cawangannya.

Kata Akmal hari ini sudah masuk hari kedua Pemuda Umno menuntut agar KK Super Mart menunjukkan kekesalan mereka di setiap kedai di negara ini.

"Saya mohon anda semua cuba check (periksa) KK Super Mart di kawasan anda. Ada tak menaikkan kenyataan mohon maaf di kedai mereka?" katanya lagi.

Dia yang juga exco Melaka kemudian menegur pihak tertentu yang dianggap menjadi hero kerana membela pihak rangkaian kedai berkenaan serta meminta orang ramai agar tidak memperbesarkannya.

"Shame on you sebab tunduk kepada tauke besar!" katanya.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan menyediakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun.

Sementara itu dalam reaksi Akmal terhadap komen pengikut akaun media sosialnya, dia menegaskan kempen boikot akan diteruskan selagi permohonan maaf tersebut tidak dibuat.

“Boikot tetap kekal seperti biasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS