Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan tinjauan untuk mendapatkan pandangan masyarakat India, dalam usaha memahami cabaran yang dihadapi kumpulan minoriti itu.
Kaji selidik itu diterajui oleh Unit Transformasi India Malaysia (Mitra).
"Tinjauan ini bertujuan untuk memahami halangan yang dihadapi dari segi mengakses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan, program kebajikan sosial, dan hasilnya akan memastikan peruntukan dana yang cekap kepada isu utama yang diketengahkan.
"Maklum balas jujur anda tentang kebajikan sosial, pendidikan dan pembangunan kerjaya akan membantu kami mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan dan mencipta perubahan positif.
"Dengan mengambil bahagian, anda memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk masyarakat India di Malaysia," kata tinjauan dalam talian itu.
Langkah itu diambil selepas Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang digesa meletakkan jawatan berhubung gagal mengendalikan Mitra, yang dipindahkan semula ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sementara itu, sekurang-kurangnya tiga NGO yang mendakwa mewakili kepentingan etnik India berkata Aaron tidak menunjukkan minat sebenar dalam menguruskan Mitra.
Mereka juga mempersoalkan kementerian itu menjemput Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau ke sesi libat urus halatuju Mitra.
"Apa tujuan menjemput Hadi, Muhyiddin, Lau, dan semua orang ini datang memberi idea tentang Mitra?
"Pertama sekali, apa yang mereka tahu tentang sentimen India?” soal Dayalan Sreebalan, yang mengetuai tiga NGO itu selepas menghantar memorandum kepada kementerian hari ini.
Berdasarkan bancian 2020, etnik India membentuk 6.7 peratus daripada jumlah populasi.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah, masyarakat etnik India mempunyai mobiliti ekonomi yang lebih rendah sepanjang satu generasi, berbanding masyarakat etnik Cina atau bumiputera.
