Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU baru pastikan pemimpin warga asing tak kebal di mahkamah - MP
Diterbitkan:  Mar 18, 2024 8:55 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

PARLIMEN | Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 dilihat mampu memastikan martabat negara dilindungi di samping mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan negara asing.

Mengambil iktibar insiden pembunuhan Kim Jong-nam, abang sebapa pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un di Malaysia pada 2017, RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata undang-undang itu akan memastikan negara atau pemimpin warga asing tidak kebal dalam prosiding mahkamah di Malaysia.

Beliau berkata insiden itu telah mencalarkan imej negara dengan dakwaan keselamatan Malaysia tidak terjamin selain menimbulkan persepsi bahawa negara ini tidak mempunyai undang-undang untuk melindungi warga asing yang bercuti di sini.

“Kejadian ini membuatkan Malaysia menjadi bahan cemuhan… saya percaya undang-undang ini akan memastikan perkara itu tidak berulang lagi.

“Perkara ini jelas dalam Seksyen 10 RUU ini yang memperuntuk sesuatu negara asing, seseorang Ketua Negara dan seseorang Ketua Kerajaan tidak kebal daripada bidang kuasa mahkamah dalam mana-mana prosiding yang berhubungan dengan kematian atau kecederaan diri atau kerosakan harta,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Pada sesi sama, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula beberapa peruntukan di dalam RUU itu antaranya peranan dan kuasa Perdana Menteri.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata peruntukan sedia ada terutama yang melibatkan Fasal 30, 32 dan 33 dilihat memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri untuk membuat sebarang keputusan.

“Perlu ada semak dan imbang terhadap kuasa yang diberikan itu kerana apabila kuasa yang diberikan itu terlalu besar, akan ada ruang untuk disalahgunakan, tidak boleh seorang itu sahaja diberi kuasa membuat keputusan,” katanya.

Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mencadangkan supaya frasa membabitkan kuasa Perdana Menteri di dalam Fasal 30, 32 dan 33 dimasukkan atau ditambah dengan peranan Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam hal ini, Agong perlu diberikan peranan dengan Perdana Menteri perlu merujuk dan mendapatkan perkenan Agong sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula berkata kerajaan perlu memperhebat perbahasan dan perbincangan awam dalam proses penggubalan RUU itu.

“Untuk ketika ini, saya cadangkan juga RUU ini ditangguhkan dan serahkan ia dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata Fasal 30 memperuntuk Perdana Menteri boleh menarik balik semua atau mana-mana kekebalan terhadap negara asing sekiranya beliau berpuas hati bahawa Malaysia tidak menerima apa-apa kekebalan yang bersamaan dengan yang diberikan di bawah RUU berkenaan.

Beliau berkata Fasal 32 memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengecualikan mana-mana negara asing daripada mana-mana peruntukan akta berkenaan tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang difikirkan perlu atau suai manfaat untuk dikenakan.

“Fasal 33 menyatakan Perdana Menteri boleh membuat peraturan-peraturan sebagaimana yang suai manfaat atau perlu bagi memberikan kuat kuasa sepenuhnya atau melaksanakan peruntukan akta ini dengan lebih baik,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS