Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal: Minta kawan 'back up' akan buat kamu lagi diboikot
Diterbitkan:  Mar 19, 2024 10:03 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mengulangi gesaannya memboikot KK Mart walaupun kedai itu sudah memohon maaf kerana menjual stoking dengan tulisan kalimah "Allah".

Polis semalam mengesahkan bahawa dua kertas siasatan telah dilancarkan berhubung perkara itu dan Akmal digesa supaya tidak memperbesarkan isu itu dengan gesaan boikot.

“Jika kamu kata mempertahankan kalimah Allah ini dengan memboikot KK Mart adalah hasutan, bring it on, bro.

"Sedikit pun (saya) tidak gentar. Umno ini prinsipnya mempertahankan Islam, bumiputera dan raja-raja Melayu dan tidak pernah berubah dari dulu kini dan Insyallah selamanya," katanya malam tadi di Facebook..

Pagi tadi Akmal berkongsi kenyataan terbaru dengan menggesa penyokongnya supaya bertenang dan terus memboikot.

“Lagi kuat kamu minta kawan kamu back up (bantu) untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu.

"Teruskan memboikot, kita bagi pengajaran keras kepada semua pihak yang suka-suka nak memperlekehkan isu agama dan bangsa," katanya.

Semalam, ketua parlimen DAP Nga Kor Ming menggesa Akmal supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung isu berkenaan, dengan berkata reaksi Akmal hanya akan memudaratkan Umno.

“Ketua Pemuda Umno Akmal dan netizen tidak seharusnya terus mencetuskan sentimen perkauman dan agama dengan sikap angkuh dan provokatif. Ini adalah tingkah laku yang berbahaya dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Sekiranya Akmal tidak mahu melihat Umno terus kehilangan sokongan rakyat, beliau mesti bermuhasabah diri terlebih dahulu, dengan rendah hati menerima nasihat ikhlas, atau beliau akan dikenang sebagai punca kekalahan Umno dalam pilihan raya,” kata Nga.

Dia menambah, manipulasi sentimen perkauman dan agama Akmal adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan zaman mudanya dan era globalisasi hari ini.

Akmal menggesa KK Mart diboikot selepas stoking yang mengandungi kalimah Allah dijual oleh kedai serbaneka itu.

Ini meskipun KK Mart sudah memohon maaf mengenai perkara itu di media sosial, dan menghentikan jualan produk berkenaan.

Mereka berkata mereka telah terlepas pandang stoking yang dihantar kepada mereka daripada pembekal.

Bagi Nga, permohonan maaf KK Mart di saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.

Namun, Akmal menuntut KK Mart menaikkan kain pemidang memohon maaf di semua 881 cawangannya.

Polis telah mengesahkan bahawa mereka telah membuka dua kertas siasatan mengenai kes itu.

Pembekal stoking itu, Xin Jian Chang Sdn Bhd, juga telah memohon maaf berhubung perkara itu.

“Sebagai pemilik syarikat yang membekalkan stoking kepada KK Mart, saya memohon maaf atas segala-galanya,” pemilik syarikat Soh Chin Huat dipetik sebagai berkata oleh New Straits Times.

“Ini telah membuka mata saya tentang keperluan untuk lebih berhati-hati dalam proses membawa masuk produk dari luar negara... kami akan belajar daripada kesilapan ini,” tambahnya.

Dia berkata walaupun syarikatnya mengeluarkan stoking sendiri, bekalan stoking yang menjadi kontroversi itu diperoleh dalam satu bungkusan dari China.

Katanya, pengeluar di China itu juga mendakwa stoking itu dihantar ke Malaysia secara tidak sengaja.

Lihat Komen
ADS