Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong: KL kurang sesak jika pembangunan adil di semua negeri
Diterbitkan:  Mar 19, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Yang di-Pertuan Agong mempersoalkan sama ada kesesakan di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan berpunca daripada pembangunan yang tidak saksama di negeri lain oleh kerajaan persekutuan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan, membawa kepada penghijrahan penduduk dari negeri lain ke Wilayah Persekutuan yang ketara.

Ini seterusnya memberi tekanan kepada kerajaan untuk membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap bagi menangani kesesakan jalan raya dan memenuhi permintaan penduduk bandar yang semakin padat.

"Persoalannya, adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh kerajaan persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?" soal baginda dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara, hari ini.

Justeru, Sultan Ibrahim mahu kerajaan memperuntukkan pembiayaan dan tumpuan pembangunan yang sama kepada semua bandar di semua negeri.

Titah baginda, langkah itu dapat membantu mengurangkan kesesakan di bandar.

“Sekiranya semua negeri dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandaraya akan dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal,” titah baginda.

Selain kesesakan bandar, Agong juga menyatakan bahawa kebersihan di beberapa kawasan di Kuala Lumpur tidak memuaskan.

“Semua orang tahu saya suka memandu sendiri, jadi saya dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya dan persekitaraannya. Apa yang saya nampak, masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kebersihannya tidak memuaskan.

"Masyarakat kota juga perlu bersama-sama dalam menjaga kebersihan dan alam sekitar.

“Kerajaan saya bukan kerajaan pungut sampah. Kepada pengua tkuasa, jalankanlah tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah," titah baginda.

Lihat Komen
ADS