Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lesen perniagaan kilang berkaitan stoking tertera kalimah Allah ditamatkan
Diterbitkan:  Mar 21, 2024 7:15 AM
Dikemaskini: Mar 21, 2024 3:59 AM

Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) membatalkan lesen operasi syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd (Xin Jian Chang) iaitu kilang yang dikaitkan dengan penjualan stokin yang mengandungi kalimah Allah.

Menerusi hantaran di Facebook, MPBP berkata mereka telah menyerahkan notis pembatalan lesen berkenaan kepada pengarah urusan syarikat terbabit Xin Jian Chang, Soh Hui San,

Mesyuarat tersebut berlangsung di Menara MPBP, Jalan Rugayah, semalam.

"Kilang itu telah diserahkan notis di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian MPBP 2016," kata MPBP.

Notis itu diserahkan di hadapan Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin, disaksikan ahli majlis yang lain.

Sebelum ini pengurusan Xin Jian Chang mengumumkan bahawa operasi mereka ditutup sehingga Ahad ini untuk memastikan keselamatan kakitangannya.

Syarikat terbabit telah mengunci pintunya dan turut mempamerkan sepanduk di pintu pagar kilang mereka untuk menyatakan kekesalan atas kejadian itu dan berjanji akan mengekalkan komitmennya untuk memelihara sensitiviti masyarakat berbilang agama.

Ia juga berjanji untuk mengekalkan keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

Kontroversi itu timbul minggu lalu apabila imej stokin yang mengandungi perkataan “Allah” didapati dijual di dua atau tiga cawangan KK Super Mart di Bandar Sunway tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Super Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stokin itu.

Ini termasuk menamatkan kontraknya dengan Xin Jian Chang.

Pembekal itu sebaliknya menyalahkan syarikat Mu Mian Qing Hosiery dari China kerana tersilap menghantar stoking kepadanya.

Polis dalam pemeriksaan ke atas kilang Xin Jian Chang berkata, mereka hanya menemui lima pasang stokin dengan kalimah Allah, yang kesemuanya adalah yang ditarik balik dari KK Super Mart.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS