Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekolah daif: PAC beri kerajaan dua bulan untuk laksana empat syor
Diterbitkan:  Mar 21, 2024 3:43 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

PARLIMEN l Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh dua bulan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjawab dan melaksanakan empat syor yang telah diberikan berhubung isu sekolah daif, sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata empat syor yang perlu dilaksanakan KPM adalah melancarkan Program Sifar Bangunan Sekolah Daif seluruh negara untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Selain itu, KPM perlu meningkatkan perancangan dan pelaksanaan program penyenggaraan sekolah-sekolah bagi mengurangkan kebarangkalian sekolah-sekolah berkenaan dikategorikan sekolah daif.

“KPM juga perlu memantapkan kaedah pengurusan projek melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian secara berterusan bagi memastikan semua projek yang dirancang siap mengikut jadual.

“Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Semula Bangunan Daif Di Sekolah yang dipengerusikan oleh KPM perlu diperkasakan supaya lebih efektif bagi menangani isu-isu sekolah daif,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

PAC hari ini membentangkan laporannya berhubung Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah di bawah KPM, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sarawak dan JKR Sabah selepas memanggil beberapa saksi pada 17 Jan lepas.

Saksi berkenaan adalah Ketua Setiausaha KPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Badioezaman Ab Khalik, Timbalan Pengarah Infrastruktur JKR Sarawak Dr Cassidy Anak Morris dan Ketua Penolong Pengarah JKR Sabah Petrocelli Joseph.

Mas Ermieyati berkata PAC turut mengadakan lawatan kerja ke empat sekolah di Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Supok dan SK Nanga Grenjang di Saratok serta SK Serabang dan SK Paku Central di Betong, pada 5 Feb lepas.

Beliau berkata PAC mendapati terdapat bangunan yang telah lama dikenal pasti dan disyor tidak sesuai untuk digunakan oleh pihak JKR namun masih tidak diambil tindakan penambahbaikan.

“Sebagai contoh, ada bangunan yang telah 12 tahun mendapat syor untuk dibaik pulih tetapi tiada tindakan diambil. PAC dimaklumkan hal ini terjadi kerana kekangan kewangan yang menyebabkan KPM terpaksa memilih sekolah-sekolah yang perlu diutamakan berdasarkan keadaan atau kerosakan yang lebih kritikal,” katanya.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata PAC juga mendapati kelewatan memproses permohonan projek sekolah daif oleh KPM menyebabkan berlaku Notis Perubahan yang menyebabkan kerosakan sedia ada menjadi lebih teruk serta ditambah pula dengan keperluan baharu.

Beliau berkata kegagalan KPM mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini menyebabkan bangunan atau ruangan yang telah disyorkan tidak sesuai dan selamat untuk digunakan JKR, masih digunakan serta penempatan alternatif yang disediakan tidak kondusif sekali gus menjejaskan proses PdP.

“Terdapat kos tambahan lain seperti pembinaan penempatan sementara bagi tujuan penyuraian murid, pertambahan kos tetap (overhed), kos berkaitan masa, kos lanjutan dan lain-lain yang perlu ditanggung kerajaan dan pertambahan tekanan kerja ke atas kakitangan sekolah atau pejabat pendidikan dan KPM,” katanya.

Mas Ermieyati berkata prosiding turut merumuskan beberapa perkara antaranya hanya 386 projek daif yang dilaksanakan dan 123 (31.9 peratus) daripadanya siap dilaksanakan, manakala 1,094 sekolah belum diangkat permohonan projek daif.

Selain itu, beliau berkata projek sekolah daif yang dijalankan secara berpakej adalah tidak efektif, justeru KPM serta JKR bersetuju tidak meneruskan pendekatan tersebut dan projek sakit yang dibangunkan secara berpakej ini sedang dipantau rapi oleh jabatan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS