Nahas Nuri: Kesemua enam anggota TUDM terkorban

   

Kesemua enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas helikopter Nuri apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui bangkai pesawat itu berhampiran Genting Sempah dekat Kuala Lumpur hari ini.

Pengawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Zulkiflee Abdul Latiff berkata dalam satu kenyataan, bangkai pesawat itu ditemui anggota pasukan melalui gerakan darat di sebuah lokasi 5km Barat Laut dari Genting Sempah pada jam 1.24 petang.

Difahamkan kesemua mayat telah dikeluarkan dari bangkai pesawat itu dan sedang diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Waris dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai berita buruk itu dan mereka kini sedang menunggu ketibaan jenazah di HKL, demikian menurut laporan Bernama.

Mereka yang terkorban juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sarjan Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sarjan Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.

Bangkai pesawat itu ditemui pada hari kelima selepas ia dilaporkan hilang pada kira-kira jam 9.35 pagi, 10 minit selepas ia meninggalkan Pangkalan Udara TUDM menuju ke Kuantan Jumaat lalu.

Gerakan mencari dan dan menyelamat, yang dilancarkan serta merta membabitkan lebih 1,000 anggota namun mereka menghadapi kesukaran untuk mengesan pesawat itu kerana berhadapan dengan masalah hutan tebal dan cerun curam di kawasan pergunungan itu.

Usaha mencari dan menyelamat dari udara yang dibantu sebuah helikopter Sea Hawk dari tentera Amerika Syarikat, juga sukar akibat cuaca berkabus tebal dan hujan lebat sejak nahas itu.

Kipas tertanggal

Helikopter Nuri yang membawa mayat mangsa mendarat di padang bolasepak HKL pada jam 3.45 petang ini, di mana orang ramai termasuk beberapa orang waris menunggu dengan wajah sedih.

Kelihatan enam buah ambulans menunggu berhampiran helikopter Nuri berkenaan untuk membawa mayat bagi urusan bedah siasat.

Menurut seorang ahli pathologi HKL, berdasarkan kepada keadaan mayat kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia pada hari kejadian akibat impak apabila pesawat itu terhempas.

Sementara itu menurut jurucakap JPA3, pesawat malang itu ditemui dalam keadaan kipasnya tertanggal daripada badannya yang tidak terbakar.

Cuaca buruk

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata nahas yang membabitkan pesawat Nuri dipercayai berpunca daripada faktor cuaca buruk.

"Laporan awal menunjukkan cuaca buruk adalah faktor terbesar yang menyebabkan nahas itu," katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Sambil mengucapkan takziah kepada anggota keluarga kesemua mangsa, Najib berkata keadaan dan bentuk muka bumi serta rintangan hutan tebal, bukit curam serta ketinggian pokok, telah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari udara, yang dijalankan sebaik sahaja pesawat itu dilaporkan hilang Jumaat lalu.

Menurutnya, bangkai helikopter itu ditemui anggota Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Terendak melalui gerakan darat.

"Pesawat dengan anggota yang terkorban itu ditemui pada jam 1.24 petang tadi, di lokasi 5km dari Barat Laut dari terowong Genting (Lebuh Raya Karak)," katanya.

Najib berkata keadaan hutan tebal dengan pokok seperti "kanopi" telah menghalang penglihatan anggota SAR yang menjalankan operasi mencari dari udara di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Tempat pesawat itu ditemui adalah dalam kawasan lingkungan 60 km persegi yang diberi tumpuan oleh pasukan mencari dan menyelamat sejak hari pertama operasi dijalankan.

Najib berkata pada masa ini TUDM sedang berusaha keras untuk membawa keluar kesemua mayat itu dari lokasi kejadian.

Difahamkan anggota penyelamat sedang berusaha membersihkan kawasan hutan berhampiran tempat helikopter itu ditemui, bagi membolehkan pasukan penyelamat mendarat dan membawa keluar kesemua mayat.

Usaha membawa keluar mayat tidak dapat dibuat lebih awal kerana pasukan penyelamat menghadapi masalah untuk menarik dan mengangkat mayat-mayat itu menggunakan tali ke helikopter kerana halangan pokok, selain hutan tebal dan kawasan yang agak curam.

Malaysiakini
terkini untuk anda