Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak mampu mendengar setiap tuntutan daripada badan bukan kerajaan (NGO) khususnya mengenai pindaan undang-undang kewarganegaraan.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Saifuddin berkata, kerajaan dan kumpulan hak asasi manusia mesti mencari titik persefahaman bersama kerana matlamat utama kedua-dua pihak adalah sama iaitu menyelesaikan isu kewarganegaraan.
"Jangan semua yang dia tuntut kerajaan kena dengar, patut ada give and take and try to find middle ground.
"Yang penting adalah sama sama selesaikan isu warganegara. Pendapat kamu mungkin betul tapi tak semestinya benar, beri ruang juga kepada kerajaan, pada akhirnya matlamat urus kewarganegaraan tercapai. Itu semangat yang kita ambil," katanya selepas menghadiri Hari Polis Diraja Malaysia Ke-217 di Polis Pusat Latihan (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri itu mengulas gesaan daripada NGO agar kerajaan mengkaji dan menggugurkan tiga baki pindaan, yang dianggap regresif oleh pengkritik, sebelum membentangkannya di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) meminta kerajaan menyerahkan baki pindaan perlembagaan kontroversi mengenai kewarganegaraan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk semakan penuh sebelum mengundinya.
Pindaan tersebut termasuk menghapuskan hak kewarganegaraan automatik bagi kanak-kanak yang dilahirkan pemastautin tetap, mengurangkan had umur untuk mendapatkan kewarganegaraan daripada 21 kepada 18 tahun, dan membenarkan pembatalan kewarganegaraan warga asing yang telah bercerai dan memperoleh kewarganegaraan melalui perkahwinan.