Paling Popular
Terkini

Metaverse atau metasemesta merupakan istilah teknologi yang mula diperkatakan dan menjadi fenomena sejak diperkenalkan pada sekitar bulan Oktober 2021, terutamanya dalam kalangan masyarakat dunia yang sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Hal ini tercetus daripada pengumuman penjenamaan semula syarikat Facebook kepada “Meta” oleh pengasasnya, Mark Zuckerberg.

Pengumuman ini menimbulkan minat global tentang makna “Meta” yang digunakan oleh Facebook. 

Mark Zuckerberg menterjermahkan evolusi masa depan Internet  dengan sesuatu yang dipanggil sebagai metaverse

Semenjak itu, topik metaverse semakin hangat dibincangkan terutamanya dalam kalangan komuniti realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), dan Extended Reality (XR) secara umumnya.

Berdasarkan aliran carian melalui Google, pencarian kata kunci metaverse di peringkat global pada waktu itu jauh melebihi carian untuk realiti tambahan (AR) dan realiti maya(VR), yang merupakan teknologi penting dalam Revolusi Industri 4.0. 

Rekod carian di Google berkaitan Metaverse sehingga Januari 2023 adalah sehingga sebanyak 1.9 juta carian. 

Bagaimanapun, istilah metaverse sebenarnya diperkenalkan hampir tiga dekad yang lalu dalam novel sains fiksyen Neil Stephenson, yang berjudul Snow Crash.

Dalam novel tersebut, metaverse digambarkan sebagai titik pertemuan antara dunia fizikal dan ruang maya yang dapat diakses secara berterusan. 

Contoh adaptasi idea yang sama boleh dilihat dalam filem terkenal Ready Player One, yang mana watak utamanya, Wade Watts, digambarkan sebagai memasuki dunia maya yang mengasyikkan untuk menikmati kehidupan yang diimpikan.

Metaverse menawarkan banyak ciri unik dan komponen yang membezakannya daripada platform dalam talian yang biasa. 

Salah satu ciri pentingnya adalah kemampuan untuk mengintegrasikan dunia maya dan fizikal yang saling terhubung. Dalam erti kata lain, metaverse disokong oleh teknologi imersif (VR dan AR), teknologi Internet dan teknologi blockchain

Fokus utama metaverse adalah untuk pengalaman berterusan yang membolehkan pengguna membuat perubahan dan interaksi yang berkekalan. 

Selain itu, metaverse juga menggalakkan interaksi sosial dengan memungkinkan individu untuk berhubung, bekerjasama, dan terlibat dengan orang lain secara langsung. 

Ruang ekonomi baru

Tambahan pula, metaverse membuka peluang ekonomi baharu seperti perdagangan maya dan penciptaan aset digital memberikan pengalaman dalam talian yang lebih menarik dan interaktif kepada pengguna.

Sehingga kini, metaverse telah memainkan peranan yang besar dalam pelbagai industri. 

Dalam industri permainan mudah alih, platform seperti Roblox dan Fortnite menunjukkan pengaruh langsung  metaverse

Roblox membolehkan pengguna mencipta dan berkongsi dunia maya dengan pemain-pemain lain melalui perwakilan konsep avatar. 

Sementara itu, aplikasi Fortnite membenarkan pengguna untuk mengadakan acara langsung dan konsert, sebagai menyatukan pengalaman permainan dan hiburan.

Perspektif yang lain menunjukkan aplikasi Decentraland dan VRChat turut selari dengan konsep penggunaan metaverse

Decentraland menawarkan persekitaran maya terdesentralisasi untuk berbagai aktiviti seperti konsert maya dan pameran seni. 

Di samping itu, VRChat membolehkan interaksi sosial, penyertaan dalam acara dan penjelajahan kandungan dalam realiti maya. 

Dalam pendidikan, platform seperti Engage VR dan AltspaceVR memanfaatkan Metaverse untuk tujuan pembelajaran. Engage VR menyediakan bilik darjah maya dan persekitaran latihan, sementara AltspaceVR mengadakan persidangan maya dan bengkel untuk pembelajaran interaktif.

Dalam sektor perniagaan pula, Spatial dan Virbela menunjukkan integrasi metaverse

Spatial menyediakan ruang mesyuarat maya dan persekitaran kerjasama, manakala Virbela menyediakan  ruang kampus maya untuk kolaborasi pasukan jarak jauh serta pameran dagangan digital.

Metaverse mempunyai potensi yang besar dalam pelbagai bidang. Namun, teknologi ini turut menghadapi beberapa cabaran. 

Cabaran utamanya termasuk privasi dan keselamatan data, jurang digital yang memisahkan individu dengan dan tanpa akses kepada teknologi serta pertimbangan etika seperti identiti maya, hak digital dan kesan pengalaman digital terhadap kesejahteraan mental. 

Justeru, adalah menjadi harapan besar agar pihak yang berkepentingan termasuklah syarikat teknologi, pembuat dasar, penyelidik dan kumpulan advokasi menggembleng usaha dan inisiatif bagi mengatasi cabaran ini.

Perkara ini boleh dilakukan dengan langkah-langkah proaktif seperti perlindungan data yang kuat, inklusiviti digital, penyelidikan etika, serta pembangunan garis panduan untuk penggunaan metaverse yang bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, metaverse dilihat sebagai satu kemajuan penting dalam konteks digital kerana potensinya untuk mengubah dinamika interaksi, penciptaan dan pengalaman dalam talian.

Integrasi dengan teknologi canggih seperti AI, blockchain dan XR akan meningkatkan pengalaman dengan simulasi yang realistik, interaksi yang dipersonalisasi, dan keterhubungan yang lancar.

Ini akan membuka peluang bagi kemajuan teknologi, pertumbuhan ekonomi baharu, dan impak sosial dan memberi tumpuan kepada usaha kelestarian dengan menggalakkan pengalaman maya serta mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. 

Pola perkembangan yang berterusan dalam metaverse akan memainkan peranan yang penting  bagi membentuk masa depan inovasi digital dan inisiatif kelestarian keseluruhannya.


CHE SAMIHAH CHE DALIM dan SURIAWATI SUPARJOH ialah pensyarah kanan merangkap penyelidik utama Kumpulan Fokus Aplikasi dan Kajian Multimedia (ARoMA), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS