Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Gencatan senjata jadi alat mainan kuasa besar?

Berita Rusia dan China menggunakan kuasa veto membantah draf resolusi Amerika Syarikat (AS) mengenai gencatan senjata pada mesyuarat di Majlis  Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menampakkan isu gencatan senjata menjadi alat mainan kuasa- kuasa besar.

Kuasa-kuasa besar mempunyai kepentingan dan agenda mereka sendiri dalam mengusul dan menolak draf resolusi gencatan senjata. 

Apabila Rusia atau China mencadangkan draf gencatan senjata di UNSC, AS akan  memveto pula atas pelbagai alasan diikuti sekutunya Britain dan Perancis yang  turut sama membantah atau berpendirian berkecuali. 

Banyak negara-negara anggota bukan tetap telah mencadangkan draf resolusi tetapi akan dibantah oleh kuasa-kuasa besar. 

Kalau begini situasinya sampai Gaza hancur barulah gencatan senjata  akan dipersetujui oleh semua negara anggota tetap UNSC.

Dalam hubungan ini Malaysia kecewa UNSC sekali lagi gagal membuat resolusi gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Beliau berkata usaha itu adalah percubaan kesembilan dilakukan Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh dua bulan bagi membebaskan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka. 

UNSC telah kehilangan keabsahannya sebagai badan pengaman dunia. 

Selagi ketiadaan keikhlasan dalam draf solusi untuk mengusulkan gencatan senjata berkekalan supaya perang  dan genosid dihentikan terus maka ia akan menjadi mainan kuasa besar dalam menggunakan kuasa veto setiap kali ia dicadangkan.

Namun apa yang menarik untuk perhatikan ialah AS buat pertama kalinya sejak  serangan Hamas pada  7 Oktober mengemukakan resolusi yang menyokong “keperluan gencatan senjata segera dan berterusan”.

Adakah ini menunjukan rakan dunia akhiratnya itu telah keletihan berperang dengan Hamas dan tidak tahan dengan tekanan dan kutukan antarabangsa? 

Lebih sensasi lagi apabila Hamas memberi 'penghargaan' susulan tindakan Rusia dan China gunakan kuasa veto untuk bantah draf resolusi AS mengenai gencatan senjata Gaza pada mesyuarat UNSC.

“Kami merakamkan penghargaan atas pendirian Rusia, China dan Algeria menolak resolusi pencerobohan AS yang berat sebelah terhadap rakyat kami," kata kumpulan pejuang Palestin itu dalam kenyataan.

Hamas berkata, draf itu mengandungi “kata-kata mengelirukan yang bersubahat” dengan Israel dan 'membenarkan perlindungan serta keabsahan untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza'.

Antara sebab mengapa draf teks resolusi ditolak kerana ia menuntut gencatan senjata segera hanya pada sepanjang bulan suci Ramadan sahaja dan pembebasan semua tebusan yang tidak memihak kepada Palestin.

Teks draf ini juga tidak memberikan tekanan kepada rejim pengganas dan tidak menyatakan dengan jelas mengenai operasi ketenteraan dirancang Israel di Rafah, yang disifatkan boleh membawa musibah amat teruk.

Sebarang teks draf yang dicadangkan harus dibaca dengan teliti kerana ia tidak dinyatakan dengan jelas dan boleh membawa implikasi besar jika diterima dengan membabi buta.

Mengapakah cadangan teks draf  dinyatakan dengan bahasa samar dan kabur dalam diplomasi antarabangsa di UNSC sehingga terbuka kepada pelbagai tafsiran untuk diperdebatkan apabila nyawa manusia menjadi taruhan? 

Ketiadaan bahasa yang mudah dan jelas difahami  dalam draf resolusi gencatan senjata akhirnya menjadi sekadar mainan bahasa “bombastik”  lagi yang tersirat dan mengelirukan. 

Apalah ertinya usul draf gencatan senjata di UNSC kerana Barat tidak merasakan kesegeraan dalam menghentikan genosid dan tidak  memperdulikan kematian rakyat yang semakin meningkat dari sehari ke sehari yang kini berjumlah melebihi 30, 000 kematian?

Rejim haram masih menyekat sebarang kemasukan bekalan makanan dan kemanusiaan di pintu-pintu masuk ke Gaza.

Di sebalik alasan dan rasional dalam draf resolusi, AS hanya mahu mengikat gencatan senjata pada bulan Ramadan ini dengan objektif  membebaskan tebusan di Gaza kerana rakyat negara haram memberikan tekanan kepada kerajaan Benyamin Netanyahu yang mahukan tebusan dibebaskan dengan segara.  

Di samping itu objektif cadangan draf AS di UNSC juga bagi memperlihatkan wajah kebaikan dan kemanusiaan ketika Presidennya sedang berhadapan dengan pilihan raya Presiden untuk penggal kedua.  

AS boleh beralasan yang mereka telah mengusulkan gencatan senjata tetapi Rusia dan China menolaknya dan media AS akan memainkan peranan putar belit berita kepada warga AS yang dungu untuk mudah menerimanya. 


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS