Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedai KK Mart di Perak kena baling bom petrol
Diterbitkan:  Mar 26, 2024 3:09 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, Perak dibaling dengan bom petrol, kira-kira pukul lima pagi tadi.

Namun, menurut laporan China Press, bom petrol itu jatuh di kawasan kosong di depan kedai itu, yang terletak di Jalan Mosi, dan tidak meletup.

Tiada yang cedera dan pekerja KK Mart membuat laporan polis sebaik sahaja insiden itu berlaku, kata laporan itu lagi.

Rangkaian kedai serbaneka KK Mart berdepan gesaan boikot susulan penemuan stoking dengan kalimah Allah di cawagannya di Bandar Sunway, Selangor kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Bernama, dia juga berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil tindakan sendiri berkaitan isu KK Mart.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam, di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Turut dikenakan pertuduhan adalah Tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd - yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis mengesahkan kejadian sebuah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian berlaku pada 5.35 pagi sebelum disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan berhubung kejadian tersebut pada 8.49 pagi.

"Pengadu berusia 20 tahun itu memaklumkan ketika sedang bekerja mendengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar untuk memeriksa keadaan.

"Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersial Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

Mohd Yusri berkata pemburuan individu terlibat sedang dijalankan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan kita juga sedang menyiasat rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan," katanya.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norseha Baharudin di talian 0177964459.

Lihat Komen
ADS