Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jana Wibawa: Muhyiddin henti rayuan di Mahkamah Persekutuan
Diterbitkan:  Mar 29, 2024 6:14 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, telah mengemukakan notis untuk menghentikan rayuan bagi kes Jana Wibawa di Mahkamah Persekutuan, dua hari selepas memohon semakan di Mahkamah Rayuan.

Notis tersebut dikemukakan melalui firma guaman Chetan Jethwani, berdasarkan dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini.

Bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lalu atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang membabitkan program Jana Wibawa.

Dia dituduh menggunakan kedudukannya sebagai bekas perdana menteri dan presiden Bersatu untuk mendapatkan ganjaran sebanyak RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengembalikan tuduhan tersebut bulan lalu dengan memutuskan pertuduhan terhadap Muhyiddin adalah jelas dan tidak kabur.

Muhyiddin cuba membatalkan keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan dengan memfailkan rayuan, tetapi pendakwa Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan bahawa undang-undang hanya membenarkan kes ini dibawa ke Mahkamah Rayuan kerana ia bermula di Mahkamah Sesyen.

Muhyiddin kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengkaji semula keputusannya, sebelum mengemukakan notis hari ini untuk menghentikan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Lihat Komen
ADS