Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah putuskan pemecatan bekas pengurus BNM tidak sah
Diterbitkan:  Mar 29, 2024 6:20 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa pemecatan bekas pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Y Kohila kerana menyertai aktiviti politik dari 2013 hingga 2017, adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.

Hakim Ahmad Bache berkata inkuiri dalaman BNM tidak dijalankan secara adil kerana dia tidak diberi masa yang mencukupi dan dokumen berkaitan untuk membuat persiapan membela diri.

Dia juga berkata bahawa Kohila, 48, yang didakwa atas tiga pertuduhan melanggar kod pekerja, dijalankan secara tidak adil dan berpotensi menjejaskan integriti proses itu.

Ini kerana inkuiri berkenaan telah menolak permintaannya untuk mendapatkan peguam luar, mengemukakan pernyataan saksi dan membenarkan saksi luar memberi keterangan dalam prosiding.

"Plaintif sepatutnya diletakkan sebagai defendan supaya dia boleh membela diri, tetapi pihak bank enggan berbuat demikian.

"Dia diletakkan dalam kedudukan yang kurang bernasib baik... Dia tidak mempunyai peluang untuk bersedia bagi membela diri ketika inkuiri.

"Plaintif tidak dilayan secara adil. Dia tidak berpeluang memberi keterangan tetapi hanya perlu disoal balas oleh ahli panel," katanya, hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 April untuk memutuskan berapa jumlah ganti rugi khas, am, teladan dan teruk yang akan diterima oleh plaintif.

Pada Mei 2017, Kohila diberikan surat tunjuk sebab oleh bank pusat itu atas sokongannya kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan menyertai perhimpunan anjuran parti itu pada tahun 2016.

Selepas prosiding pada 30 dan 31 Mei serta Jun 2017, Kohila menerima surat pada 19 Julai 2017, yang menyatakan dia didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan diarahkan meninggalkan premis BNM dalam masa satu jam.

Dia kemudian memfailkan rayuan pada 3 Ogos 2017, bagaimanapun ini ditolak pada 5 September 2017.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Kohila memfailkan saman pada 9 Julai 2018.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS