Dikemas kini dengan berita penuh.
Pemuda PKR (AMK) mempertahankan menteri pendidikan Fadhlina Sidek berhubung kenyataannya yang didakwa mengharamkan penggunaan perkataan kafir dalam rumahnya.
Menyifatkan kenyataannya diputar belit, AMK mempertahankan Fadhlina yang disifatkan pergerakan itu sebagai sangat berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Malah, katanya, bapanya Siddiq Fadzil juga seorang tokoh ilmuan dan agamawan di Malaysia.
“Sepanjang beliau menjadi menteri pendidikan sejak tahun 2023, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memartabatkan dan memperkasakan syiar Islam yang bermula di sekolah,” kata AMK.
Dalam kenyataan hari ini, AMK berkata walaupun sering dikecam, Fadhlina terus komited menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri pendidikan.
Dia malah, kata AMK, berjaya melaksanakan dasar yang gagal dibuat oleh pihak pembangkang semasa mereka menjadi kerajaan sebelum ini.
AMK bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut dasar-dasar itu.
Sejak kelmarin tular dakwaan Fadhlina "mengharamkan" penggunaan kalimah kafir termasuk di rumah dan dalam kalangan anak-anaknya, menyebabkan dia dikecam pengkritik.
Fadhlina juga dilaporkan menerima ugutan melalui alam maya susulan isu berkenaan dan membuat aduan kepada polis sebagai langkah keselamatan.
Fadhlina memohon maaf dan menjelaskan bahawa dakwaan terhadapnya dibuat di luar konteks.
Ketua Wanita PKR itu menjelaskan dia tidak melarang penggunaan perkataan yang memang ada dalam al-Quran itu.
Sebaliknya, Fadhlina berkata, isunya ialah pemilihan panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian.
