Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami isteri disyaki dalang promosi ceti haram di bazar Ramadan

Polis menahan sepasang suami isteri disyaki dalang penyebaran kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di bazar Ramadan pekarangan Stadium Ipoh yang tular di media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kedua-dua mereka yang berusia 53 dan 54 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Perak di sebuah rumah di Sitiawan kira-kira 12.45 tengah malam tadi.

Beliau berkata polis turut merampas antaranya telefon bimbit, buku catitan senarai peminjam wang dan 120 keping kad tertera tawaran pinjaman wang dan judi dalam talian.

"Hasil siasatan awal suspek mengaku telah ke bazar Ramadan itu bersama dua lelaki orang kurang upaya (OKU) yang diupahnya dengan bayaran RM30," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya semakan ke atas buku catitan senarai peminjam mendapati 90 peratus peminjam adalah warga tempatan di daerah Manjung dan tindakan mengedar kad tersebut bagi mengembangkan perniagaan yang dipercayai beroperasi sejak dua tahun lepas.

Mohd Yusri berkata suspek juga mengaku perniagaan pinjaman wang tanpa lesen itu mengenakan kadar bayaran yang tinggi termasuk secara harian.

Beliau berkata polis masih mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Terdahulu tular di media sosial rakaman berdurasi 1.01 minit menunjukan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai hingga mendatangkan rasa kurang senang peniaga di bazar tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS