Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama Umno tegur pemimpin k'jaan: Hati-hati isu sensitif Islam
Diterbitkan:  Apr 2, 2024 9:37 AM
Dikemaskini: 1:38 AM

Majlis Ulama Umno menegur pemimpin kerajaan dan tokoh masyarakat terutamanya agar lebih berhati-hati dalam membicarakan isu-isu sensitif berkaitan Islam.

"Ini supaya tidak menimbulkan salah faham di kalangan orang-orang Islam yang boleh menimbulkan perdebatan dan tuduh menuduh di kalangan umat Islam," katanya pada satu kenyataan semalam.

Ulama Umno mengulas penjelasan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang dituduh 'mengharamkan penggunaan perkataan kafir'.

“Majlis Ulama Umno menegaskan bahawa perkataan kafir adalah perkataan yang dinaskan oleh al-Quran dan al-Hadis merujuk kepada satu kategori manusia yang tidak beragama Islam dan mengengkari akidah yang dianuti oleh orang Islam.

“Justeru, tiada sebarang sensitiviti beragama dalam menggunakan istilah Kafir merujuk kepada bukan Islam kerana ia merupakan istilah dalam agama Islam.

"Malah, ia merupakan perkataan yang sentiasa disebut oleh umat Islam apabila membaca surah-surah yang menjadi wirid harian seperti surah al-Kafirun dan dalam zikir-zikir seperti lafaz Takbir Hari Raya," katanya pada satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, Majlis Ulama Umno pula menasihatkan masyarakat Islam agar tidak gopoh mengulas, menyebar serta membuat sangkaan dan tuduhan melibatkan maruah beragama seorang saudara Islam.

"(Ini) apabila berbangkit apa-apa isu agama daripada ucapan dan tulisan seseorang sebelum mendapatkan penjelasan maksud dan tujuannya. Bersangka baik adalah lebih baik dan selamat,” kata majlis itu lagi.

Menjelaskan lanjut, ulama Umno memetik nasihat Khalifah Islam, Umar bin al-Kattab (RA) sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 12 surah Al-Hujurat.

“Janganlah kamu menyangka terhadap satu kalimah yang keluar dari mulut saudaramu melainkan kebaikan sedang kamu masih ada ruang menanggung maksud yang baik.”

Fadhlina pada 31 Mac membuat permohonan maaf susulan tularnya klip video pendek dan rekaan poster yang menunjukkan seolah-olah dia menolak penggunaan perkataan "kafir" yang merupakan salah satu ungkapan yang terdapat dalam Islam.

Dia menafikan dakwaan tersebut, yang katanya dibuat di luar konteks sebenar dan menyimpang daripada apa yang dimaksudkan olehnya.

"⁠Saya sebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah 'kafir' yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta," jelas Fadhlina.

Turut terlibat dalam polemik tersebut ialah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang menegaskan, seseorang yang mengharamkan perkataan kafir sama seperti mengharamkan al-Quran dan sunnah.

Namun reaksi pantas Mohd Asri mendapat pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan ahli agama yang menasihatkan dia agar melihat konteks ucapan Fahdlina terlebih dulu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah berkata sebarang perbezaan pandangan seharusnya disampaikan dengan cara yang lebih baik.

Luqman menasihatkan umat Islam agar menumpukan masa mereka untuk memanfaatkan baki Ramadan yang ada berbanding menimbulkan lebih banyak polemik mengenai isu perkataan "kafir".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS