Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sebelum ini tiada penyakit politik sebegini di Sarawak'

Ahli politik Sarawak melahirkan rasa kecewa terhadap serangan molotov cocktail di sebuah kedai KK Mart di Kuching dengan menyifatkannya sebagai bertentangan dengan norma masyarakat di negeri itu.

Presiden Parti Kenyalang Voon Lee Shan berkata 'penyakit' politik sedemikian adalah sesuatu yang asing di Sabah dan Sarawak.

“Sebelum ini, kita tidak pernah ada 'penyakit politik' sebegini di Sabah dan Sarawak. Orang di sini sukakan keamanan dan kami tidak pernah mengalami masalah sosial dan perkauman seperti yang biasa kami lihat di Semenanjung.

“Saudara-saudara kami yang beragama Islam, Kristian, Sikh, Hindu, Tao dan Buddha boleh dilihat bergaul antara satu sama lain di kedai kopi dan restoran.

"Kami mesra dan budaya memberontak dan langkah politik tak terkawal tidak sesuai di Sarawak," kata Voon kepada Malaysiakini.

Voon Lee Shan

Pada Ahad lalu, sebuah lagi cawangan kedai serbaneka KK Mart - kali ini di Jalan Satok di Kuching - menjadi sasaran serangan, susulan kontroversi penjualan stoking dengan kalimah Allah pada bulan lalu.

Ia insiden serangan ketiga dan berlaku sehari selepas cawangan KK Mart di Kuantan, Pahang diserang. Insiden pertama berlaku di Bidor, Perak.

Sementara itu, Adun Kota Sentosa Wilfred Yap kesal apabila insiden keganasan seperti itu telah merebak ke Sarawak.

Baginya, kenyataan lantang yang dibuat Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dalam kontroversi itu menyumbang kepada apa yang berlaku.

“Saya harap ahli politik tanpa mengira pihak mana dapat menumpukan kepada usaha merangkul dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat demi kestabilan politik yang penting untuk Malaysia terus membangun.

“Kita harus mencontohi cara para pengasas Malaysia di mana pertikaian, rasa tidak puas hati dan masalah diselesaikan melalui rundingan, kompromi, dan konsensus,” katanya.

Sebelum ini Akmal turut mengecam serangan di kedai KK Mart namun kekal menggesa agar kedai serbaneka itu diboikot.

Pemimpin DAP Sarawak Michael Kong pula berkata sementara isu tersebut tidak sepatutnya berlaku, namun penting untuk menerima bahawa KK Mart telah memohon maaf dan mengambil tindakan susulan.

“Jadi walaupun timbul kemarahan kerana isu itu, ia tidak seharusnya dimainkan dan digunakan untuk menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam masyarakat.

"Sebaliknya, kita harus gunakan peluang ini untuk bersama-sama berbincang tentang apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan ia tidak berulang," katanya.

Lihat Komen
ADS