Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ESEI FOTO: Masjid di Nilai anjur iftar pekerja Bangladesh

ESEI FOTO | Pada setiap Ahad di bulan Ramadan, Masjid Al-Azim Taman Semarak, Nilai meraikan komuniti pekerja asing, khusnya warga Bangladesh dengan penganjuran majlis berbuka puasa khas buat mereka.

Menurut pengerusi masjid, Md Fakarudin aktiviti itu kini telah masuk tahun ketiga penganjurannya dan mendapat sambutan yang menggalakkan saban tahun.

"Sebelum ini mereka dilihat sebagai menumpang aktivti ahli kariah sahaja. Namun ada yang datang menyuarakan hasrat mereka untuk turut serta dan mereka juga banyak memberi sumbangan.

“Di sini peranan kami sebagai pentadbir mengalu-alukan semua umat islam tidak kira latar belakang untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan meraikan niat baik mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Sukarelawan menyediakan sajian briyani dengan rempah ratus dari Bangladesh. Sebanyak 60 kilogram beras dan 100 kilogram daging digunakan untuk menjamu lebih 500 orang.

Menariknya, selain tenaga kerja sukarela untuk memasak, mereka juga berjaya mengumpul sendiri dana kos penyediaan makanan setiap minggu berjumlah lebih RM3,000.

Hafizul Rahman Asynur, 37, ketua komuniti pekerja Bangladesh di kawasan itu melahirkan rasa terima kasih di atas peluang istimewa diberikan masjid untuk mereka mengadakan majlis berbuka puasa.

"Kadang-kadang kami juga mendapat sumbangan dari syarikat-syarikat majikan salah satunya syarikat produk keluli United U-Li yang memberi dana untuk kami membeli barang makanan pada minggu ini."

Md Mekul membawa bekas berisi tembikai yang sudah dipotong di atas kepala. Pihak masjid mengenakan syarat supaya semua penyediaan dan peralatan makanan harus dibuat di masjid bukan dibawa dari rumah untuk menjamin kebersihan dan kualiti.
Pengerusi masjid Md Fakarudin Ab Rahman berkata stigma terhadap warga asing dapat dikurangkan sejak mereka didekati dan mereka mula memahami budaya hidup orang tempatan yang mementingkan kebersihan.
Plastik pelapik dibentang untuk memastikan kebersihan masjid dari tumpahan makanan yang akan mengganggu jemaah untuk aktiviti ibadah yang lain.
Nasi, sayuran dan buah-buahan diisi ke dalam talam sebelum dihidang. Mereka diberi latihan disiplin dari segi aspek kebersihan pengendalian makanan sepanjang menyertai aktiviti di masjid bersama masyarakat tempatan.
Pemandangan masjid dan kawasan flat Semarak sebelum masuk waktu berbuka puasa. Kawasan flat Taman Semarak dihuni kira-kira 50 peratus pekerja warga asing, 40 peratus daripadanya adalah warga Bangladesh yang sudah menetap lebih lima tahun. Ini kerana Nilai adalah sebuah kawasan perindustrian yang pesat membangun.
Jemaah mula memenuhi ruang masjid dan para sukarelawan mula menghantar makanan untuk berbuka puasa.
Satu talam dihidangkan kepada empat orang. Lebih 125 talam diperlukan untuk 500 orang jemaah.
Pekerja Bangladesh menikmati sajian berbuka puasa yang dihidang dalam talam.
Usai berbuka puasa, jemaah masjid merapatkan saf untuk solat Maghrib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS