Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu stoking: Nik Nazmi nafi k'jaan tak bertindak reda ketegangan

WAWANCARA | Anggota kabinet Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan cara kerajaan persekutuan mengendalikan isu stoking yang tertera kalimah Allah.

Dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini minggu ini, dia menyangkal dakwaan bahawa Putrajaya tidak berusaha atau lambat dalam menangani kontroversi yang bertukar menjadi isu ketegangan agama itu.

Ini khususnya berkaitan kempen berterusan mensasarkan KK Mart oleh ahli politik tertentu seperti Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang dilihat ramai pihak 'memanaskan' keadaan.

Menurut Nik Nazmi, yang juga naib presiden PKR, kemarahan umat Islam terhadap stoking yang tertera kalimah Allah itu nyata maka ia menjadi isu rumit yang memerlukan tindak balas seimbang.

"Maksud saya mesti ada garisan (penentu), saya bersetuju sepenuhnya, tetapi jika anda hanya menekan terlalu cepat dan (bila ada) apa-apa perkara kontroversi anda hanya mengetatkan kawalan dan mengatakan anda telah menangkap seseorang atau sebagainya, maka saya juga fikir ia tidak sihat.

"Kerana terdapat cara lain untuk mesej itu tersebar dan kemudian mereka akan berkata: oh rakyat sedang ditapis, (suara) orang ramai dipadam dan ia (kemarahan) hanya akan membara di bawah permukaan yang juga berbahaya," katanya.

Temu bual bersama Nik Nazmi, yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam, diadakan sempena ulang tahun ke-25 PKR pada 4 April.

Nik Nazmi berkata kerajaan dan pemimpinnya tidak membisu dalam mengulas isu berkenaan, termasuk tidak bersetuju dengan Akmal walaupun dia merupakan pemimpin politik dalam gabungan kerajaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah bersuara, katanya meminta semua pihak membiarkan pihak berkuasa menangani insiden itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

"... pesanan saya sentiasa: anda tahu Islam tidak mengajar kita... Maksud saya kalimah Allah itu suci, anda perlu menghormatinya. Tetapi anda juga tidak perlu meneruskan dan membangkitkan isu stoking ini.

"Orang dah minta maaf, tindakan undang-undang sudah diambil, jadi itu sahaja. Anda tidak boleh mengambil tindakan sendiri, keganasan dan semua itu."

Nik Nazmi berkata menangani isu sebegitu rumit dalam masyarakat majmuk merupakan cabaran yang perlu dihadapi kerajaan.

Bagi PKR, katanya, parti itu sebaik mungkin sentiasa cuba mengambil jalan tengah tetapi mengakui ia lebih mudah bercakap daripada melaksanakannya.

"Kerana anda boleh terlalu memihak di pihak ini atau anda boleh terlalu memihak di pihak yang lain.

"Tetapi kami cuba yang terbaik dalam perkara sedemikian untuk menangani beberapa isu kontroversi seperti ini," katanya.

Kontroversi tercetus tiga minggu lalu apabila gambar stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah kedai KK Mart di Bandar Sunway tular di media sosial.

Insiden itu menyaksikan laporan polis beramai-ramai dibuat berikutan polis tidak bertindak awal. Ia juga mencetuskan kempen memboikot KK Mart, yang dikepalai oleh Akmal.

Kedua-dua KK Mart dan Xin Jian Chang Sdn Bhd memohon maaf atas kejadian itu dan mendakwa ia berpunca daripada kesilapan.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai dan isterinya Loh Siew Mui, telah didakwa dengan sengaja mengguris perasaan umat Islam di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tiga lagi, yang merupakan pengarah Xing Jian Chang - syarikat yang membekalkan stokin kepada kedai serbaneka, juga didakwa di mahkamah sama kerana bersubahat dengan KK Mart.

Walaupun tindakan undang-undang telah dimulakan, ketegangan terus memuncak dan menyaksikan tiga cawangan KK Mart di Perak, Pahang dan Sarawak turut diserang dengan bom api berikutan kontroversi itu.

Yang-di Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 27 Mac lalu menegaskan semua pihak perlu berhenti daripada mengambil kesempatan berhubung kontroversi stoking tertera kalimah Allah itu.

Sebaliknya baginda mahu semua pihak, terutamanya pemimpin masyarakat bertindak matang.

Kelmarin (3 April), Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pada sesi mengadap itu, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sultan Ibrahim kemudian bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Susulan itu, Akmal ditanya jika dia akan akur dengan titah Seri Paduka Baginda dan kepimpinan Umno pusat untuk semua pihak berhenti daripada terus memainkan isu berkenaan.

Pun begitu Akmal menyoal: "Agong ada larang untuk tidak boikot ke?”

Akmal kemudian ditahan polis di Kota Kinabalu dan telah dibebaskan selepas keterangannya diambil di bawah siasatan akta hasutan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS