Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCCBCHST salah tafsir cadangan pinda Akta 355
Diterbitkan:  Apr 6, 2024 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar menyanggah kenyataan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang mengatakan cadangan pindaan ke Akta Mahkamah Syariah 1965 tidak berperlembagaan.

Hal itu kerana, katanya, cadangan tersebut tidak boleh ditafsir sebagai mewujudkan undang-undang baru atau sama seperti yang sedia ada dalam Senarai Persekutuan.

Tegasnya, Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan badan perundangan negeri yang ingin membuat pindaan masih tertakluk kepada bidang kuasa yang diperuntukkan dalam fasal tersebut.

"Cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan badan perundangan negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan pada Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana, badan perundangan negeri hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa perundangan yang diperuntukkan melalui Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan," kata Mohd Na'im dalam kenyataan hari ini.

Pada Mac 14 lalu, MCCBCHST menggesa Peguam Negara (AG) untuk campur tangan terhadap langkah Kelantan menggubal semula peruntukan enakmen jenayah syariah yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

MCCBCHST berkata perluasan kuasa menjatuhkan hukuman yang diberikan kepada mahkamah syariah akan membolehkan kesalahan berkaitan hudud - seperti mencuri, pencurian, zina, liwat, dan pengambilan minuman keras - untuk diadili di bawah undang-undang jenayah Islam.

Berbau hasutan, 3R

Kumpulan tersebut turut mendakwa penggubalan semula peruntukan itu akan menjadi ancaman serius terhadap demokrasi dan menggugat kestabilan negara.

Mohd Na'im berkata dalam senarai negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dua perkara utama iaitu kuasa untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam terhadap perintah agama.

Namun, hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan serta tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

"Oleh yang demikian, kenyataan MCCBCHST mengelirukan dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di negara ini," tambahnya.

Menurut Mohd Na'im, cadangan pindaan ini bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah sejak pindaan kali terakhir dilaksanakan pada 1984.

"Kadar hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 tidak lagi pernah dipinda. Kadar hukuman yang diperuntukkan tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.

"Apa jua cadangan pindaan yang dibuat kepada akta tersebut tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah pun diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada badan perundangan negeri.

"Oleh itu, semua pihak digesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat spekulatif dan pre-emptive berhubung cadangan pindaan ini kerana ia masih belum dibentangkan di parlimen," katanya.

Takiyuddin Hassan

Sementara itu, PAS menggesa Putrajaya mengambil tindakan wajar dan segera terhadap kenyataan MCCBCHST itu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendakwa MCCBCHST tidak mempunyai locus standi untuk memberikan pandangan atau mengemukakan bantahan.

Katanya kenyataan MCCBCHST jelas berbentuk hasutan dan melibatkan isu-isu 3R.

"Ia bukan semata-mata isu perlembagaan seperti yang didakwa, bahkan merupakan isu hal ehwal Islam dan MCCBCHST tidak mempunyai apa-apa locus standi untuk memberikan pandangan atau mengemukakan bantahan," katanya.

Menurut Takiyuddin, kenyataan MCCHCBT bukan sahaja tersasar malah menggambarkan kejahilan yang ketara terhadap pemahaman undang-undang di negara ini.

"Dengan kenyataan susulan hari ini, MCCBCHST mengulangi pendirian songsang mereka terhadap cadangan pindaan Akta 355 bagi menaikkan kadar hukuman," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS