Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjelasan Vern's mengenai logo kasut legakan umat Islam - Akmal
Diterbitkan:  Apr 7, 2024 3:30 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Nota Editor: Berita ini telah dikemaskini untuk memasukkan kenyataan terkini Akmal selepas syarikat kasut, Vern's Holdings Sdn Bhd memberikan penjelasan.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mengucapkan terima kasih atas penjelasan Vern's Holding Sdn Bhd berhubung logo salah satu kasut tumit tinggi keluaran syarikat itu.

Menurut Akmal, penjelasan bahawa logo itu bukan kalimah Allah memberikan kelegaan kepada umat Islam.

"Salah faham telah terungkai bahawa ia bukanlah kalimah Allah tetapi ia adalah logo kasut bertumit tinggi dan syarikat juga telah menghentikan pengeluaran kasut ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat atas penjelasan yang memberikan kelegaan kepada semua umat Islam," katanya pada hantaran di Facebook.

Dakwaan terhadap jenama kasut itu mula timbul di TikTok pada 23 Mac lalu.

Namun, ia mengundang perhatian ramai hari ini apabila hantaran mengenainya dimuat naik satu pasangan di Facebook.

Ia kemudian menimbulkan kemarahan dan gesaan agar jenama itu diboikot.

Insiden itu turut menarik perhatian Akmal yang sebelum ini melancarkan boikot terhadap KK Mart berikutan penemuan stoking memaparkan kalimah Allah di kedai serbaneka itu bulan lalu.

Akmal berkata dia pada mulanya marah apabila mendengar tentang perkara itu namun dia membuat semakan terlebih dahulu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan.

"Saya terbaca satu hantaran yang memaklumkan ia adalah logo seperti kasut tumit tinggi dengan talinya sekali. Begitu juga dari pandangan mata saya.

Muhamad Akmal Saleh

"Ada logiknya tetapi apa-apa pun kita mendesak penjelasan segera daripada Vern's berkenaan isu ini," katanya di Facebook.

Katanya lagi, umat Islam di Malaysia tidak bertindak secara semberono, sebaliknya bersangka baik terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan Vern's menjelaskan bahawa logo tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

Bagaimanapun, syarikat itu mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir

Syarikat itu juga telah mengambil langkah segera menghentikan jualan kasut berkenaan serta bersedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan mereka yang telah membeli produk tersebut.

Kontroversi itu timbul ketika kemarahan sebahagian umat Islam terhadap KK Mart masih belum reda berikutan penemuan stoking yang tertera kalimah Allah di cawangan kedai serbaneka itu di Selangor bulan lalu.

Kemarahan itu mengundang tiga percubaan membakar KK Mart dilaporkan berlaku di Perak, Pahang dan Sarawak.

Akmal sebelum ini kekal dengan pendirian untuk memboikot KK Mart walaupun beberapa pihak menggesa dia supaya menghentikan tindakan itu berikutan syarikat itu telah didakwa di mahkamah kerana melukakan perasaan agama lain.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Mohd Na'im Mokhtar berkata dia telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghubungi syarikat kasut itu esok.

Mohd Na'im berkata dia meminta mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu supaya menghubungi pihak berkuasa termasuk pihak polis.

Pada masa sama, dia menggesa agar semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa termasuk Jakim menyiasat perkara itu.

Secara berasingan, polis Pulau Pinang mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka telah menerima laporan mengenai perkara itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Usuf Jan Mohamed berkata laporan tersebut dibuat oleh seorang guru selepas melihat hantaran mengenainya di media sosial.

Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina agama dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lihat Komen
ADS