Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LFL selar menteri kerana beri gambaran 'palsu' RUU kewarganegaraan
Diterbitkan:  Apr 9, 2024 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Lawyers for Liberty (LFL) membidas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana memberi gambaran "palsu" mengenai cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Kewarganegaraan untuk ibu Malaysia yang mempunyai anak yang dilahirkan di luar negara.

Menurut pengarahnya,  Zaid Malek, kenyataan Yeoh adalah sangat mengelirukan, dan tidak jujur, dan sama sekali tidak mengendahkan kebimbangan serius mengenai RUU itu yang dibangkitkan oleh masyarakat sivil, peguam hak asasi manusia, Majlis Peguam, Suhakam, individu terkemuka, serta beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH). 

Zaid Malek

“Pertamanya, RUU Kewarganegaraan gagal dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi baru-baru ini, walaupun semua janji yang dibuat oleh pemimpin kerajaan perpaduan bahawa nasib ibu-ibu Malaysia akan diselesaikan.

“Malah, apa yang berlaku ialah menteri dalam negeri mengumumkan RUU itu sedia untuk dibahaskan hanya beberapa minit sebelum persidangan Parlimen ditangguhkan,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas kenyataan Yeoh yang menganggap pembentangan cadangan pindaan RUU Kewarganegaraan di Parlimen untuk memberi ibu Malaysia peluang dan hak sama rata untuk memberikan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara sebagai satu langkah positif.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, menteri itu memuji kehendak politik pentadbiran Madani untuk membentangkan RUU itu pada sidang Ogos nanti.

Hannah Yeoh

Pada 27 Mac lalu, kerajaan menangguhkan sesi perbahasan RUU pindaan kerakyatan kepada sidang parlimen akan datang selepas sidang lalu kesuntukan masa.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mahu pindaan kerakyatan dibahaskan dan diundi pada sidang Parlimen berkenaan. Bagaimanapun, dia hanya sempat melakukan bacaan kali kedua RUU itu sebelum sidang Dewan Rakyat ditangguhkan.

'Kejam dan tidak masuk akal'

Mengulas lanjut, Zaid berkata penangguhan sesi perbahasan RUU itu hanyalah sandiwara dan menyalahgunakan perintah tetap Dewan Rakyat.

“Memandangkan kerajaan mengawal urusan Dewan, mereka boleh dengan mudah rang membahas dan meluluskan RUU itu.

"Akhirnya, tiada apa yang dicapai, dan tiada sebarang kelegaan diberikan kepada ribuan ibu Malaysia yang terdesak menunggu undang-undang itu diluluskan," kata Zaid.

Dia seterusnya mendakwa bahawa beribu-ribu kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia tidak akan mendapat faedah daripada RUU itu, bertentangan dengan apa yang didakwa Yeoh.

Ini kerana, mengikut Fasal 12(1) RUU itu, hanya kanak-kanak yang dilahirkan selepas kelulusan pindaan akan menerima kerakyatan, kata Zaid.

“Beribu-ribu kanak-kanak yang sedia ada itu akan terbiar. Ini kejam dan tidak masuk akal kerana kerajaan sejak awal mendakwa ia (pindaan perlembagaan) adalah untuk membantu kanak-kanak ini.

"Akibatnya, ibu-ibu Malaysia (yang terlibat) berputus asa dan kecewa dengan pengecualian sengaja ke atas anak-anak mereka daripada rang undang-undang itu," kata Zaid.

Peguam itu seterus menuduh Yeoh dan rakan-rakan kabinet memberi "gambaran palsu dan positif" RUU Kewarganegaraan, yang didakwa tidak mencerminkan realiti.

Menurutnya, PH kini menawarkan alasan dan kenyataan mengelirukan berhubung perkara itu - bertentangan dengan pendirian lantang menentang ketiadaan kerakyatan ketika berada dalam pembangkang.

“Kami menggesa kerajaan untuk segera mengumumkan bahawa RUU Kewarganegaraan akan dipinda untuk memasukkan anak-anak sedia ada yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia.

"Melakukan sebaliknya akan menjadi pengkhianatan terhadap harapan dan aspirasi ribuan ibu Malaysia dan anak-anak mereka yang tidak berdosa."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS