Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tembakan di KLIA: Polis elak lebih ramai cedera
2

Keselamatan orang ramai menjadi pertimbangan utama polis semasa pihak berkuasa terbabit berdepan dengan penembak Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar berkata kerana faktor itu pihaknya terpaksa mengambil langkah berhati-hati dan mengelak daripada tindakan drastik.

Berdasarkan keadaan ketika itu, katanya, mungkin ada lebih ramai mangsa akan tercedera jika polis bertindak membalas tembakan lelaki terbabit.

“Dia melepaskan tembakan di kawasan umum ada ramai orang awam, termasuk kanak-kanak.

“Sebab itu lebih baik kita (polis) keluarkan dia dari kawasan itu dan selamatkan orang awam (daripada risiko terkena tembakan).

“Itu kaedah terbaik berbanding kita engage (membalas tembakan) dengan suspek yang bersenjata api,” katanya pada sidang media di Sepang pagi ini.

Hussein juga menjelaskan tindakan segera yang diambil oleh polis dan pasukan keselamatan KLIA adalah yang terpantas dan terbaik pada pandangannya.

Pegawai tertinggi polis Selangor itu berkata demikian sebagai menjawab persoalan mengapa pihak berkuasa tidak membalas tembakan yang dilepaskan suspek yang sebelum itu mencederakan seorang pengawal peribadi isterinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam seorang lelaki cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek, dikenali sebagai Hafizul Marawi.

Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai cuba menembak isterinya namun sempat diselamatkan pengawal peribadi terbabit.

Bagaimanapun pengawal peribadi itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, mengalami kecederaan parah dan kini terpaksa ditidurkan oleh pihak hospital.

Menurut Hussein polis yakin Hafizul masih berada di dalam negara, selain memiliki pistol yang digunakannya semasa di KLIA semalam.

Justeru Hussein mengulangi gesaan pihak berkuasa semalam agar Hafizul - yang memiliki rekod jenayah termasuk merompak dan menyamar sebagai kakitangan awam - tampil menyerah diri secara baik sekali gus memudahkan semua pihak.

"Polis juga ada pasukan untuk menjejak keberadaan dia di lapangan," katanya.

Mengulas lanjut Hussien berkata setakat ini seramai 11 orang sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan, termasuk mangsa yang terkena tembakan, individu dilempar mercun serta dua doktor.

Katanya polis akan memanggil beberapa orang saksi lagi seperti ahli keluarga pihak yang terlibat.

Terdahulu Hussein menyaksikan acara serah terima tugas di antara bekas Ketua Polis Daerah KLIA SAC Imran Abd Rahman dan ACP Azman Shari'at.

Azman sebelum ini merupakan Ketua Urusetia di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah KLIA.

Imran pula menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
2
ADS