Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tak pernah ditahan, hanya dihalang ke luar negara'

Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Shahrol Azral Ibrahim berkata dia tidak pernah ditahan pihak berkuasa, sebaliknya hanya dihalang daripada ke luar negara pada 2018.

Shahrol berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan saman sivil SRC berjumlah AS$1.18 bilion (RM5.6 bilion) terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Najib yang juga bekas menteri kewangan kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta berhubung kes rasuah melibatkan RM42 juta dana daripada SRC, bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Saman SRC terhadap Najib adalah berkaitan RM4 bilion pinjaman yang diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) antara 2011 dan 2012. Kwap ialah badan berkanun di bawah kementerian kewangan.

Shahrol memberi keterangan ketika pemeriksaan balas oleh peguam defendan, Harvinderjit Singh.

Dia memberi keterangan atas kapasitinya sebagai responden ketiga dalam saman sivil yang difailkan Najib.

Harvinderjit: Pasport kamu telah dirampas? Dan kamu?

Shahrol: Pasport saya tidak dirampas tetapi saya dilarang melancong (luar negara). Saya tidak ditangkap.

Pada 2019 semasa perbicaraan rasuah terhadap Najib berkaitan dana RM2.27 bilion 1MDB, Shahrol berkata saksi pendakwaan dilarang ke luar negara untuk mengelakkan mereka melarikan diri.

Dia memberi keterangan atas kapasiti sebagai bekas CEO 1MDB.

Perbicaraan saman sivil SRC terhadap Najib akan bersambung di hadapan hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Rabu ini.

Semasa perbicaraan di mahkamah sivil, Shahrol antara lain berkata Najib mempunyai kuasa mutlak ke atas SRC, dan saksi itu menggambarkan bekas perdana menteri itu sebagai 'grand chess master'.

Di bawah pengurusan baru, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib sebagai bekas penasihat emeritus plaintif, telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat, serta menyeleweng berbilion ringgit dana.

Syarikat milik MOF Inc itu juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugiannya akibat pecah amanah dan agar bekas menteri kewangan itu membayar balik RM42 juta.

Plaintif juga memohon perintah mahkamah supaya Najib mengambil kira kerugian AS$1.18 bilion, serta membayar balik sejumlah AS$120 juta dananya yang didakwa dimasukkan ke akaun bank bekas perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS