Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan Najib untuk tukar hakim kes 1MDB didengar 20 Ogos

Pasukan peguam Najib Razak akan mendapat peluang pada 20 Ogos untuk mengemukakan hujahan lisan bagi perintah Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan hakim Collin Lawrence Sequerah daripada mempengerusikan perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Mahkamah Rayuan pagi ini telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Najib selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan berkenaan sebelum ini.

Najib memohon hakim baru untuk mendengar kes 1MDB kerana Sequerah pernah menjadi rakan kongsi dengan bekas buruan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jasmine Loo di sebuah firma guaman 15 tahun lalu. Loo kini menjadi saksi pendakwaan utama dalam perbicaraan rasuah itu.

Peguam perayu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh itu pada 20 Ogos.

Peguam itu menambah bahawa Mahkamah Rayuan juga memberi arahan kepada pasukan pembelaan dan pendakwaan untuk memfailkan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 5 Ogos, dan perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 6 Ogos.

Pada 18 Ogos tahun lalu di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Sequerah menolak permohonan Najib supaya dia menarik diri daripada kes 1MDB dan meminta hakim baru mengetuai perbicaraan itu.

Sequerah memutuskan bahawa pekerjaan masa lalu sahaja tidak mencukupi untuk menunjukkan risiko berat sebelah, kerana tidak ada hubungan antara dia dan Loo sejak dia meninggalkan firma guaman Zain & Co pada 2008.

Sequerah meninggalkan firma itu pada 2014 apabila dia menjadi hakim.

Hakim itu menegaskan bahawa tiada komunikasi, sama ada peribadi atau profesional, antara dia dan Loo sejak 2008, dengan Loo telah terlibat sebagai peguam am dengan 1MDB pada 2011.

"Mengenai penglibatan Loo dalam kes itu, ia bermula pada 2011 apabila dia (dihubungi) 1MDB. Ini tiada kaitan dengan pada masa saya berada di Zain & Co (dengan Loo)," kata Sequerah.

Tambahnya, pasukan pembelaan bukan sahaja gagal menunjukkan hubungan peribadi atau profesional sedia ada antara dia dan Loo, malah ia juga gagal memberikan bukti hubungan kewangan atau langsung dengan Loo.

Bekas peguam itu menegaskan bahawa ini dikuatkan oleh fakta bahawa dia berada di jabatan litigasi firma guaman itu, manakala Loo berada di jabatan berasingan firma itu yang berurusan dengan hal korporat.

Sequerah juga menafikan permohonan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu penyelesaian rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini semasa pendengaran permohonan untuk mengenepikan Sequerah, Shafee mengemukakan terdapat persepsi risiko berat sebelah di pihak Sequerah, yang merupakan rakan kongsi dalam Zain & Co ketika Loo dijadikan rakan kongsi pada 2004.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar membalas bahawa Loo hanya terlibat dengan 1MDB pada 2011, iaitu tiga tahun selepas dia meninggalkan firma guaman itu pada 2008.

Berhubung perbicaraan yang sedang dijalankan di hadapan Sequerah yang dijadualkan disambung semula pada Isnin minggu depan, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas menteri kewangan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Lihat Komen
ADS