Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor teruskan siasatan isu sejadah mini
Diterbitkan:  Apr 16, 2024 9:12 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan meneruskan siasatan terhadap laporan alas kaki tertera gambar Kaabah yang didakwa sejadah mini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata siasatan akan diteruskan meskipun pihak pasar raya berkenaan menjelaskan ia sejadah mini.

"Kalau awak (pihak pasar raya) tahu sejadah itu mulia kenapa diletakkan sekali (bersama alas kaki). Saya ada gambar dan maklumatnya.

"Namun kenyataan yang mereka keluarkan itu saya boleh dengar saja, sebagai agensi penguat kuasa dan agensi agama di negeri Johor saya akan bersifat bertanggungjawab kepada agama saya terlebih dulu sebelum saya menimbangkan keterangan itu," katanya dipetik Berita Harian.

Minggu lalu pasar raya Aeon Big menjelaskan produk yang memaparkan imej Kaabah yang didakwa sebagai alas kaki sebenarnya adalah sejadah mini.

Bagaimanapun, Aeon Big mengakui label pada produk tersebut telah mencetuskan kekeliruan namun ia telah diperbetulkan dengan menggunakan label "sejadah" pada produk tersebut.

Mohd Fared bagaimanapun mempersoalkan kedudukan imej Kaabah pada material tersebut.

"Saya tidak pernah nampak sejadah yang gambar Kaabah di hujung-hujung ataupun separuh saja.

"Walaupun sejadah mestilah memperlihatkan rupa bentuk sejadah itu sendiri kalau dia ada gambar Kaabah letak di tengah-tengah, kalau tidak reti hendak reka bentuk jangan cuba untuk reka bentuk. Tanyalah JANIJ sebelum awak menjual ataupun bertanyalah kepada agensi kerajaan berkaitan agama," katanya.

Sementara itu, Mohd Fared dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan bersama mengumumkan penubuhan jawatankuasa bertindak bagi menangani penyalahgunaan kalimah "Allah".

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Mohd Fared dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor.

Dalam kenyataan itu, mereka berkata kerajaan memandang serius penyalahgunaan kalimah Allah baru-baru ini.

"Semua dewan perniagaan, persatuan perdagangan dan kumpulan industri hendaklah memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani isu yang telah berlaku dan supaya tidak berulang," katanya.

Bulan lalu, kedai serbaneka KK Mart menjadi sasaran kritikan apabila stoking yang mengandungi kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya.

Awal bulan ini, syarikat pengeluar kasut Vern's pula menerima kecaman apabila logo pada tapak salah satu kasut keluarannya didakwa menyerupai kalimah Allah.

Vern's bagaimanapun menjelaskan logo itu bukan kalimah Allah, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

Pakar tulisan khat juga berkata, logo itu tidak menyamai kalimah Allah daripada aspek seni khat.

Na'im sebelum ini berkata Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan membuat keputusan berhubung perkara itu, tetapi belum ada perkembangan setakat ini.

Lihat Komen
ADS