Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelaburan kripto: 'Berjudi' atau penyimpan nilai?

Mata wang kripto menjadi topik penting dalam teknologi kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan telah menarik perhatian pelbagai pihak, bermula daripada pelabur sehinggalah pembangun teknologi.

Selain dianggap sebagai satu bentuk pelaburan, mata wang kripto juga digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk sebagai alat pembayaran, aset digital dan memudahkan transaksi rentas sempadan dengan kos yang lebih rendah berbanding kaedah tradisional.

Berbeza dengan mata wang fiat (mata wang konvensional yang dikeluarkan oleh kerajaan, seperti dolar atau Ringgit), matawang kripto tidak dikawal bank pusat atau pihak berkuasa kerajaan.

Bitcoin ialah mata wang kripto pertama dicipta pada tahun 2008 oleh individu atau sekumpulan individu yang menggunakan nama samaran Satoshi Nakamoto, dan semenjak itu ribuan matawang kripto diperkenalkan.

Bagi pakar ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman, mata wang kripto tidak disandarkan kepada sesuatu komoditi, menjadikan ia pelaburan berisiko tinggi kepada pelabur.

Selain nilainya yang 'volatile’ iaitu boleh turun dan naik secara mendadak, mata wang kripto juga menurutnyq tidak dilindungi kerajaan.

“Pelaburan mata wang kripto ini berisiko tinggi kerana ia tidak dijamin dan dilindungi oleh kerajaan. Nilainya pula ditetapkan berdasarkan permainan spekulasi, bukan daripada sesuatu komoditi,” katanya kepada Malaysiakini.

Pendapat sama disuarakan pakar ekonomi, Dr Geoffrey Williams yang turut menyatakan nilai mata wang kripto didorong oleh spekulasi dan tidak mempunyai sandaran sebenar, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘perjudian’.

Dr Geoffrey berkata, mata wang kripto dikaitkan dengan ‘gelembung spekulatif’ dengan nilai turun dan naiknya didorong sentimen dan permintaan pasaran yang subjektif, selain boleh dimanipulasi pemain utama.

Justeru katanya, mata wang kripto tidak dianggap sebagai aset sebenar dan tiada undang-undang yang dapat melindunginya sekiranya nilainya jatuh.

“Ia berisiko tinggi dan sering dikaitkan dengan aktiviti haram dan pencucian wang. Jika anda melabur untuk persaraan dan tidak bersedia kehilangan wang, lebih baik melabur dalam aset konvensional.

"Ramai orang terpedaya dengan pelaburan kripto kerana mudah mendapat pulangan yang tinggi tanpa mengetahui risiko sebenar,” tegasnya.

Pada 12 Mac lalu, harga Bitcoin mencecah paras rekod tertinggi melebihi AS$72,000 (RM337,046).

Bekalan Bitcoin dihadkan kepada 21 juta token dan akan menjadi lebih ketat pada April ini, apabila peristiwa yang dipanggil 'halving' berlaku.

Acara ‘halving’ berlaku empat tahun sekali apabila ganjaran untuk penambang Bitcoin dikurangkan sebanyak separuh, bagi mengawal bekalan dan menyokong harganya.

Penambangan Bitcoin adalah proses di mana transaksi Bitcoin disahkan dan direkodkan ke dalam blockchain iaitu rangkaian blok yang terdesentralisasi.

Namun memandangkan Bitcoin berusia kurang daripada dua dekad sebagai aset kewangan, trajektori harganya sukar untuk dijangka dengan tepat.

Lindung nilai terhadap inflasi

Mereka yang menyokong mata wang kripto menganggap aset digital ini sebagai penyimpan nilai (store of value) dan dapat memberikan perlindungan terhadap inflasi.

Inflasi merujuk kepada peningkatan dalam harga barang dan perkhidmatan dari masa ke masa, yang mengakibatkan daya beli wang berkurang.

Selain itu, pelabur juga menaruh keyakinan terhadap mata wang kripto - terutama Bitcoin - disebabkan ia disokong oleh teknologi blockchain yang disifatkan lebih telus.

Menurut mentor kewangan, Azizi Ali, ‘blockchain’ merupakan lejar digital yang mengandungi catatan transaksi yang disahkan secara berantai, di mana setiap blok data saling berkait dan disimpan di pelbagai nod atau komputer di seluruh rangkaian.

Azizi mengakui belum banyak regulasi diwujudkan terhadap mata wang kripto berbanding saham, emas atau hartanah, menjadikan ia pelaburan berisiko tinggi.

Bagaimanapun menurutnya, mereka yang ingin melabur dalam aset digital itu perlu mendapatkan ilmu secukupnya untuk mengelak daripada sebarang risiko kerugian.

“Mereka yang melangkah masuk ke dalam dunia kripto tanpa ilmu yang cukup sememangnya dianggap berjudi.

“Ini kerana mereka tidak tahu apa yang mereka beli, tidak tahu banyak tentang koin dan token, tidak tahu risiko yang terlibat, malah boleh terperangkap dalam penipuan yang berleluasa dalam dunia kripto,” jelasnya.

Azizi berpendapat Bitcoin merupakan sistem pembayaran yang lebih mudah, efektif dan cekap selain dapat menjadi penyelesaian kepada masalah inflasi yang dialami mata wang fiat.

Ini terutamanya apabila Bitcoin hanya memiliki 21 juta token yang dapat dihasilkan oleh penambang.

Justeru katanya, mata wang kripto boleh menjadi pelaburan berharga, malah dianggap lebih baik berbanding simpanan emas kerana bekalannya yang terhad.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan kripto dianggap akan menjadi mata wang utama di masa hadapan,” kata penulis buku Jutawan Dari Planet Jupiter itu.

Menurutnya lagi, pelancaran Dana Dagangan Pertukaran Mata Wang Kripto (ETF) Bitcoin pada awal Januari lalu memberi peluang kepada institusi pelaburan melabur dalam Bitcoin dengan modal pasaran kini lebih AS$1 trilion.

“Setakat ini 11 ETF Bitcoin sudah beroperasi – termasuk Bitwise Bitcoin ETF, iShares Bitcoin Trust dan Fidelity Wise Origin Bitcoin Fund.

“Pelabur institusi Bitcoin termasuklah Fidelity dan BlackRock. Jumlah wang yang dilaburkan setakat ini telah melebihi AS$12 bilion,” katanya.

Lihat Komen
ADS