Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan perlu fikir 'formula' gunakan Akmal tarik undi Melayu di KKB

Kerajaan perpaduan harus memikirkan formula tertentu bagi memanfaatkan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Saleh, agar mereka dapat menarik semula sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Pensyarah Sains Politik di Universiti Sains Malaysia, Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid menjelaskan Putrajaya tidak boleh terus hanya bergantung pada sokongan bukan Melayu.

Hal itu kerana, katanya, komposisi kaum pengundi di kawasan DUN terbabit tidak jauh berbeza.

“Sehingga kini saya melihat kerajaan perpaduan yang didominasi oleh PH seakan-akan sudah menerima hakikat bahawa sokongan Melayu akan kekal teguh di belakang PN.

“Ini adalah masalah kerana sikap sebegini hanya akan mendorong polarisasi sokongan berasaskan kaum menjadi lebih besar,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Fauzi menegaskan Akmal ketika ini berjaya memposisikan dirinya sebagai ‘wira’ nasionalis Melayu yang merupakan teras ideologi Umno.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid

Dakwanya sokongan orang Melayu kepada exco Melaka itu semakin meningkat berikutan kelantangannya dalam isu stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Dia turut menyarankan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil serius terhadap "potensi" Akmal yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan untuk menonjolkan imej nasionalis Melayu dalam gabungan itu.

“Bukan sekakat PRK, saya kira strategi untuk menarik sokongan Melayu dengan bantuan populariti Akmal harus difikirkan untuk jangka masa panjang dalam tempoh pentadbiran kerajaan perpaduan," katanya.

Justeru tambah Ahmad Fauzi adalah wajar untuk Anwar mengatur pertemuan melibatkan pemimpin Umno dan DAP dengan melibatkan Akmal bagi mencari jalan damai di antara kedua-dua parti.

Bertentangan aspirasi PH

Pada masa sama katanya kerajaan wajar memikirkan gerak kerja yang tersusun bagi mempertahankan sokongan pengundi bukan Melayu di samping menarik undi Melayu.

Namun Ahmad Fauzi menambah usaha tersebut mempunyai banyak cabaran terutamanya untuk memastikan Akmal turut diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu.

“Saya fikir kalau Akmal terlibat berkempen untuk calon DAP, banyak juga yang harus dijelaskannya kepada pengundi bukan Melayu.

“Tambahan pula PH harus mencari keseimbangan di antara mengekalkan prinsip demokrasi liberal mereka dan imej nasionalis Melayu dalam gabungan kerajaan perpaduan,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Mohd Azmir Mohd Nizah, pula berpandangan sebaliknya apabila dia melihat penyertaan Akmal untuk berkempen untuk calon DAP hanya akan menjejaskan ahli politik terbabit sebagai pejuang Melayu.

Mohd Azmir Mohd Nizah

Katanya Akmal sering dilihat menampilkan langkah politik yang bertentangan dengan aspirasi PH kerana dia membawa naratif Melayu Umno.

Justeru, katanya, jika Akmal dibawa ke Kuala Kubu Bharu untuk membantu memenangkan calon kerajaan, ia akan membuka dua sudut pandang buat orang ramai.

Pertama, katanya, Akmal dilihat tunduk kepada desakan yang diperjuangkannya sekarang.

"Kedua, sokongan orang Melayu terhadap Umno akan semakin merosot," katanya.

PRK Kuala Kubu Bharu terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, dari DAP pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, Lee mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi selepas menewaskan pencabar terdekatnya, Henry Teoh Kien Hong dari PN.

Lee Kee Hiong

Turut bertanding ialah dua calon lain, masing-masing dari Muda dan Parti Rakyat Malaysia.

Kawasan Kuala Kubu Bharu mempunyai komposisi kaum yang agak seimbang walaupun pengundi Melayu menjadi majoriti iaitu sebanyak 46.3 peratus, diikuti Cina (30.7 peratus) dan India (18 peratus) manakala bakinya bangsa-bangsa lain.

Belum benar-benar serasi

Sementara itu penganalisis dari firma bebas O2, Anis Sina, melihat impak yang boleh diberikan oleh Akmal untuk PRK kali ini bergantung kepada calon yang dipertandingkan oleh kerajaan.

“Sekiranya calon tersebut dari PH khususnya DAP, menjadi cabaran buat Akmal untuk berkempen mengajak pengundi Melayu memberikan sokongan.

“Namun sekiranya kerajaan meletakkan calon Melayu dan khususnya dari Umno, kehadiran Akmal mampu menjadi penyuntik yang siginikan,” katanya.

Hisommudin Bakar

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula menekankan Umno bertanggungjawab penuh untuk membawa undi Melayu yang signifikan kepada calon kerajaan bagi menebus ‘kegelinciran’ undi asas mereka selama ini kepada PN.

“Selain memulihkan semula keyakinan pengundi Umno kepada mereka, masalah paling mencabar ialah untuk meyakinkan orang Melayu memberikan undi kepada calon DAP dan ia seumpama misi mustahil di Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Hisommudin turut berpandangan, sehingga kini Sekretarariat Kerajaan Perpaduan tidak ke hadapan menyusun gerak kerja politik dan meredakan kesangsian antara satu sama lain.

“Tindakan BN Selangor mengembalikan 75 jawatan ketua kampung menggambarkan kerjasama PH-BN masih belum serasi di peringkat negeri dan bahagian.

“Sudah tentu tanpa peranan ketua kampung Umno di peringkat negeri, ia sedikit menjejaskan peranan parti itu untuk memulihkan sokongan dan pada masa yang sama membawa undi Melayu kepada PH,” katanya.

Lihat Komen
ADS