Paling Popular
Terkini
  • Nota editor: Terdapat pembetulan dibuat supaya berita ini lebih tepat.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan perbicaraan dalam kamar dalam kes semakan kehakiman supaya Najib Razak menjalani tahanan rumah bagi menghabiskan hukumannya.

Susulan itu media tidak dapat melaporkan prosiding itu.

Hakim Amarjeet Singh hari ini membenarkan permohonan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah agar prosiding terbuka permohonan itu ditukar ke perbicaraan di dalam kamar.

Difahamkan prosiding hari ini melibatkan pemfailan mahkamah yang sensitif.

Susulan permohonan Shafee, prosiding dihentikan sementara agar kakitangan mahkamah dapat menamatkan strim secara langsung yang membolehkan wartawan mengikuti perbicaraan tersebut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Wartawan menunggu di luar Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan respons Shafee dan peguam kanan persekutuan berhubung apa yang berlaku dalam prosiding dalam kamar hari ini.

Ditemui media di luar mahkamah, Shafee berkata hakim juga mengeluarkan perintah supaya prosiding berlangsung tanpa kehadiran wartawan dan orang awam.

Menurut peguam, tindakan itu bukan untuk melarang media tetapi susulan prosiding dijalankan secara in camera (tertutup).

Pada 4 April lalu, Shafee memamklumkan seorang "saksi penting" dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara enam tahun dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dengan tahanan di rumah.

Namun, dia tidak mendedahkan identiti saksi tersebut.

Bekas presiden Umno itu memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan apa yang didakwa sebagai titah addendum (tambahan) Yang di-Pertuan Agong yang dikaitkan dengan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta terhadapnya.

Menurut afidavit sokongan yang dibuatnya, Najib mendakwa titah addendum dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Justeru, dia memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan titah tersebut.

Menurut salinan permohonan semakan kehakimannya, Najib mendakwa Agong mengeluarkan titah itu pada 29 Januari lalu, iaitu hari yang sama hukumannya dikurangkan.

Dia turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi "dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah".

Dia turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal addendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.

Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Agong.

Dia turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS