Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuraida: Tindakan Fahmi persis pemerintahan komunis
Diterbitkan:  Apr 17, 2024 3:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Timbalan Presiden Muafakat Nasional Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil seperti "pemerintahan negara komunis", susulan arahannya agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap seorang pengguna TikTok.

Zuraida merujuk kepada emilik akaun TikTok @janggut_putih yang didakwa memuat naik kandungan berunsur fitnah di platform itu.

Zuraida membandingkan tindakan itu dengan pemerintahan komunis, yang menurutnya hanya mahu cerita baik kerajaan disebarkan dan menutup kritikan berasas dan soal kesusahan rakyat.

“Dia bertindak melangkaui tugasnya sebagai menteri dengan terus mengarahkan tindakan diambil sebelum sebarang siasatan dan proses undang-undang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.

“Masalah ini dilihat semakin lama semakin membarah kerana kerajaan Madani pada ketika ini dilihat terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri dan sering memberi tekanan tidak berasas kepada pengamal media, pempengaruh media sosial dan juga netizen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Fahmi mengarahkan SKMM mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun TikTok @janggut_putih yang didakwanya sengaja memuat naik video lama, iaitu pada 2019, untuk menimbulkan kemarahan masyarakat.

Video berdurasi 1.49 minit itu memaparkan seorang individu yang mendakwa Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan PH ketika itu memaksa ibu bapa dan pelajar untuk mendaftar kad debit daripada sebuah bank antarabangsa, selain menghamburkan kata-kata kesat.

Sementara itu Zuraida turut mengkritik tindakan SKMM terhadap pengendali akaun media sosial MyNewsHub, selain memanggil Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) untuk memberi keterangan.

Terdahulu, kad sim dan telefon pengendali akaun media sosial MyNewsHub dirampas selepas ia menyiarkan semula klip video lama berkenaan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan berdepan situasi serangan provokatif, yang turut melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Chegubard, Salim dan Papagomo pula dipanggil selepas terdapat aduan kandungan yang dimuat naik mereka disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Zuraida yang juga bekas ahli parlimen Ampang berkata tindakan itu menunjukkan SKMM dijadikan senjata oleh kerajaan.

Dia turut mendakwa Fahmi lebih cenderung untuk bertindak selaku ketua penerangan PKR menerusi kuasa yang dipegangnya selaku Menteri Komunikasi.

“Sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan atau membuat isi kandungan yang tidak menepati selera kerajaan Madani akan terus disenyapkan tanpa mengambil kira bahawa hak untuk menegur pemerintah sewajarnya dipelihara sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Jika ada pertelingkahan politik, memadai jawapan dan penerangan diberikan oleh jentera parti dan bukannya menyalahgunakan kuasa agensi kerajaan untuk menutup mulut para pengkritik,” dakwanya lagi.

Lihat Komen
ADS