Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'HeiTech Padu menang tender terbuka, keputusan dibuat tahun lalu'

HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) menang tender Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190.01 juta secara tender terbuka tanpa dipengaruhi mana-mana individu dalam syarikat berkenaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi penjelasan mengenai perkara itu dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Fahmi berkata, syarikat berkenaan telah memenangi tender projek itu pada 24 Nov tahun lalu sedangkan pembelian saham oleh Roseeta Partners Sdn Bhd berlaku pada 16 Mac tahun ini.

“Perdana menteri dan menteri pengangkutan telah beri penjelasan mendalam kepada jemaah menteri sebagai contoh keberkesanan sistem MySikap ini. Projek ini dibuat secara tender terbuka dan dimenangi HieTech Padu.

“Ia diluluskan Lembaga Tender MOT pada 24 Nov tahun lalu manakala Kementerian Pengangkutan telah luluskan pada 2 Februari tahun ini.

“Bermaksud keputusan berikan tender kepada Hietech telah diputuskan tahun lalu. Jadi, tidak ada kena mengenai keberadaan mana-mana pihak HieTech untuk kelulusan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kejayaan HeiTech Padu memenangi tender JPJ bernilai RM190.01 juta menjadi pertikaian dan dikaitkan dengan kronisme membabitkan bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Pada 19 Mac lalu, Farhash menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Katanya, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik mutlaknya sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek lebuh raya bertingkat Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Katanya, jemaah menteri membuat keputusan untuk tidak melanjutkan perbincangan selepas pihak berkaitan gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Jemaah menteri tak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link dan buat keputusan untuk tidak diteruskan projek berkenaan.

"Ia selepas kegagalan penuhi syarat-syarat projek tersebut," katanya.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Kerajaan Selangor kekal dengan keputusan membatalkan projek Lebuhraya PJD Link kerana syarikat pengendali projek itu masih lagi tidak dapat memenuhi syarat Penilaian Impak Sosial (SIA) projek berkenaan.

Lihat Komen
ADS