Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet tak bincang afidavit Zahid, semakan kehakiman Najib

Kabinet tidak membincangkan isu semakan kehakiman dikemukakan Najib Razak untuk membolehkan bekas perdana menteri itu menghabiskan baki tempoh hukuman penjara enam tahunya di rumah.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata kabinet juga tidak membincangkan mengenai afidavit dibuat Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong semakan kehakiman dikemukakan Najib.

"Kita (kabinet) tak bincang perkara ini... tak dibincangkan hari ini," katanya ringkas dalam sidang media di Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno mengemukakan afidavit kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyokong dakwaan Najib berhubung kewujudan titah adendum (tambahan) daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Titah itu didakwa membenarkan agar Najib - yang juga bekas menteri besar Pahang - menghabiskan sisa hukuman penjara atas kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta di rumah.

Najib ditahan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Afidavit Ahmad Zahid untuk menyokong dakwaan dibuat Najib difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Jan lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

Gambar fail

"Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi saya melihat dan membaca titah adendum, dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya dan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya betarikh 29 Januari 2024.

"Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut.

"Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama," menurut Ahmad Zahid

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan bahawa mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan petang ini dijangka akan membincangkan mengenai peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

"Petang ini diadakan mesyuarat pimpinan, difahamkan ada yang dibincangkan peruntukan kepada pembangkang.

"Namun, setakat ini tak ada maklumat penuh," katanya lagi.

Ditanya mengenai insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Fahmi berkata, pihak berkuasa akan meningkat lagi kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara.

Katanya ia bukan saja melibatkan aspek keselamatan, tetapi bagi mengekang sebarang cubaan penyeludupan.

Lihat Komen
ADS