Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC tak akan terlibat PRK Kuala Kubu Bharu - Vigneswaran

MIC memberi bayangan tidak akan turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) yang dijadual pada 11 Mei ini.

Presidennya, SA Vigneswaran berkata keputusan itu dibuat selepas kerusi itu tidak ditandingi calon BN.

"Seperti saya kata sebelum ini, MIC hanya akan berkempen dalam pilihan raya melibatkan calon BN sahaja.

"Di KKB tidak ditandingi oleh BN. Jadi MIC tak akan terlibat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dia ditanya apakah MIC yang merupakan sebahagian parti kerajaan akan turun kempen bagi membantu Pakatan Harapan (PH) dalam PRK ini.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas.

Pada 4 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK berkenaan akan diadakan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pula pada 27 April.

Tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi bayangan DAP akan bertanding semula di kerusi itu di bawah tiket PH.

Vigneswaran bagaimanapun berkata parti itu sedia membantu PH, sekiranya ada gesaan daripada pucuk pimpinan PH.

"Jika ada panggilan daripada pucuk pimpinan kerajaan madani, kemudian MIC akan turun kempen," katanya.

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu (51%), Cina (30%) dan India (18%) serta lain-lain (1%).

Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Daripada jumlah itu, seramai 39,362 ialah pengundi biasa, 238 anggota tentera dan pasangan, 625 anggota polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Terdahulu semalam mesyuarat Sekretariat Perpaduan melibatkan pemimpin BN diadakan bagi membincangkan persediaan memperkukuh jentera dan gerak kerja parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi PRK itu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil mesyuarat itu akan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS