Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Desak 6 MP Bersatu letak jawatan menyalahi undang-undang: Pakar
2

Desakan ke atas enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan merupakan satu jenis ugutan dan boleh diambil tindakan undang-undang.

Profesor Adjung Sabirin Ja'afar berkata kenyataan beberapa pemimpin Bersatu khususnya Ketua Penerangan parti itu Razali Idris boleh dianggap mengganggu tugas wakil rakyat di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Pada pendapat saya, perlakuan Ketua Penerangan Bersatu menyalahi seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana ia merupakan cubaan mendorong atau memaksa enam Ahli Parlimen supaya menahan diri daripada menjalankan tugas.

"Ketua Penerangan Bersatu juga telah melakukan kesalahan di mana beliau, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin Bersatu terhadap enam ahli parlimen parti itu yang kini menyokong perdana menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Sabirin yang juga bekas pesuruhjaya kehakiman, Mahkamah Tinggi Malaya berkata dia tidak berhasrat menyentuh perkara melibatkan politik kepartian.

"Tujuan saya membuat penjelasan ini adalah untuk memberikan sudut pandang perundangan berkenaan isu yang bersangkutan dengan amalan demokrasi berparlimen serta peruntukan jenayah yang berkaitan dengannya,”ujarnya.

Menurutnya, Kanun Keseksaan (Akta 574) telah dipinda melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012 (Akta 1430) yang telah memasukkan seksyen-seksyen baru 124B hingga seksyen 124N pada tahun 2012 yang bermakna pihak yang yang mengganggu dan mengugut ahli parlimen boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebelum ini, Razali berkata surat akan dihantar kepada enam Ahli Parlimen Bersatu dan jika mereka tetap menyokong perdana menteri, keahlian mereka akan gugur secara automatik.

Sabirin berkata pernyataan-pernyataan di atas tidak seharusnya dianalisis secara berasingan, tetapi harus dilihat dalam konteks pernyataan yang diutarakan Razali sejak bulan Februari lalu di mana mereka dipanggil “tali barut” dan tidak dipelawa untuk menghadiri mana-mana upacara Bersatu.

"Tambahan pula, Razali turut menyatakan bahawa enam ahli parlimen ini diibaratkan “sudah mati”. Kata-kata yang kesat begini jelas menggambarkan mala fide dalam perlakuan kepimpinan Bersatu.

"Secara tuntasnya, saya berpendapat bahawa kepimpinan Bersatu khususnya ketua penerangan telah menyalahi seksyen 124, 124B dan 124C Kanun Keseksaan. Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan pelanggaran seksyen-seksyen tersebut, pihak PDRM perlulah membuat siasatan segera," katanya.

Untuk rekod pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi melucutkan keahlian parti bagi wakil rakyat yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Setakat ini, enam ahli parlimen dan seorang Adun Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Lihat Komen
2
ADS