Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amalan baca akhbar rangsang kemahiran berbahasa pelajar

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran turun padang untuk melihat sendiri dari dekat kesan kempen galakan membaca di sekolah-sekolah.

Aktivis seni dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah, berkata kerajaan mengambil pendekatan yang betul apabila meminta institusi sekolah di bawah kendalian KPM melanggan tiga akhbar utama setiap hari.

Katanya akhbar bukan saja menyalurkan maklumat kepada pelajar malah secara tidak langsung mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

Pun begitu Raja Ahmad, 68, berpendapat sepatutnya langganan akhbar itu tidak hanya terhad kepada media berbahasa Melayu tetapi wajar diperluaskan ke akhbar berbahasa Inggeris.

“Penguasaan bahasa penting dibina sejak awal kerana apabila pelajar dah sampai ke tahap pusat pengajian tinggi, penggunaan bahasa di sana lebih mencabar.

"Amalan membaca ini juga sangat penting kerana semua lapisan masyarakat perlu membuka minda supaya tidak berfikiran sempit

“Justeru saya berharap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berusaha keras untuk menambah baik penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pelajar di Malaysia, sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah vernakular ataupun sekolah agama.

“Kerajaan juga wajar turun padang untuk melihat sejauh mana tahap penguasaan bahasa mereka selepas kempen ini digerakkan,” katanya.

Raja Ahmad Aminullah

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Mohammad Ali Hassan, turut menyokong penuh kesungguhan KPM menerapkan budaya membaca akhbar di sekolah.

“Cuma terdapat beberapa isu yang perlu dilihat KPM apabila mereka menggerakkan kempen begini iaitu dari segi pembiayaan kerana kami bimbang tempiasnya akan terkena pada PIBG.

“Inisiatif ini juga sangat bagus tetapi kenapa perlu menekankan bahasa Melayu saja?

"Sepatutnya bahasa Inggeris juga perlu diberikan penekanan sama selaras dengan dasar kerajaan memperkukuhkan bahasa Inggeris sambil memartabatkan bahasa Melayu.

"PIBGN bimbang pelajar akan ketinggalan dalam penguasaan bahasa Inggeris,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Mohammad Ali Hassan

Selain itu Mohammad Ali juga menyarankan agar para guru menyediakan garis panduan tertentu supaya pelajar mengambil manfaat pembacaan mereka secara menyeluruh, bukannya tertumpu pada bidang tertentu dalam akhbar saja.

Dengan adanya panduan sebegitu, katanya, sekolah dapat melahirkan pelajar yang berfikiran kritikal serta analitikal.

Pada 14 Mac lalu KPM berkata mereka mengambil inisiatif untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid melalui pembudayaan amalan membaca akhbar di sekolah.

Bagi menjayakan inisiatif itu, sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia diseru untuk melanggan akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan Sinar Harian yang merupakan akhbar utama berbahasa Melayu di negara ini.

Kuasai pelbagai ilmu

Pembelian akhbar, kata KPM, boleh dilakukan terus oleh pihak sekolah menggunakan peruntukan sedia ada.

Seniman terkenal, Pyanhabib, menganggap kempen digerakkan KPM itu adalah lanjutan daripada lanjutan daripada pengisian persekolahan sejak 1980-an.

“Dulu-dulu, akhbar Utusan Melayu (bertulisan Jawi) dan Utusan Malaysia serta Berita Harian juga menyediakan bahagian khas pendidikan iaitu khusus untuk kegunaan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Membaca merupakan amalan yang baik untuk semua termasuk pelajar supaya mereka menguasai kemahiran berbahasa Melayu," katanya.

Pyanhabib yang pernah berkhidmat selama bertahun-tahun di Utusan Melayu (M) Bhd memberitahu, amalan membaca juga membantu dia menguasai bidang seni dan sastera.

"Semasa bersekolah rendah dulu pun saya banyak membaca akhbar di kedai runcit dan ia banyak membantu saya menguasai pelbagai ilmu," katanya.

Pyanhabib

Tinjauan Malaysiakini di beberapa buah sekolah di Semenanjung Malaysia juga menunjukkan respon positif.

Guru perpustakaan dan media Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik di Shah Alam, Astura Abu Bakar, bahkan begitu teruja apabila akhbar fizikal kembali menghiasi pusat sumbernya walaupun dalam jumlah yang terhad.

Katanya memang dulu sekolah itu melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian sebelum diberhentikan.

“Saya memang menyokong penuh usaha kerajaan menerapkan amalan membaca bagi membuka minda pelajar terutama hal-hal yang berlaku di dalam dan di luar negara.

“Saya sebagai guru pusat sumber memang akan mempromosikan akhbar harian semasa perhimpunan dan menyediakan bahan bacaan di laluan-laluan strategik di sekolah.

"Memang agak sukar untuk memupuk kembali minat generasi kepada akhbar tetapi setakat ini mereka mula menunjukkan minat untuk membaca," katanya.

Sebahagian daripada pelajar SK Bandar Anggerik membaca akbar yang disediakan di pusat sumber

Tambah Astura akhbar yang menerbitkan bahan bacaan berkualiti dan tersusun boleh menyumbang kepada kemahiran pelajar membuat atau menyusun ayat.

Sebagai langkah sokongan, Astura, 60, memberitahu Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik juga menyediakan 'siaran khas' secara audio dengan bantuan pengawas pusat sumber.

Setiap hari, katanya, mereka akan membacakan berita-berita utama yang dipetik dari akhbar untuk memaklumkan semua pelajar apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Disebabkan bilangan akhbar terhad, selalunya apabila pelajar datang ke pusat sumber mereka akan disuruh mengisi buku Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) mengenai apa yang mereka baca.

"Pada masa kami juga mula melaksanakan pembelajaran dalam kelas dengan bantuan akhbar secara berperingkat, cuma ia belum meluas," katanya.

Guru pusat sumber dan media Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, Shazat Hayati Abdullah, pula memberitahu Malaysiakini sekolahnya sudah mula melanggan akhbar selepas menerima pekeliling dikeluarkan KPM.

“Disebabkan ini sekolah rendah maka murid tahap satu baru diperkenalkan kepada akhbar dan mereka belum menunjukkan minat seperti pelajar tahap dua.

"Justeru guru-guru mengambil inisiatif dengan menyuruh mereka mengisi buku Nilam sebagai latihan menanamkan minat mereka terhadap akhbar," katanya.

Shazat Hayati, 40, memberitahu pada umumnya pelajar sekolah rendah lebih cenderung membaca buku berbanding akhbar.

Hargai penulis muda

Pun begitu, katanya, sekolah itu sebelum ini memang melanggan akhbar untuk membantu pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehinggalah pengeluaran media cetak itu dikurangkan dan langganan ditamatka.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah, Zakaria Samsuddin, turut menyokong penuh usaha KPM dan menjelaskan sekolah berasrama penuh itu memang menyediakan bahan bacaan tersebut kepada pelajar.

“Pelajar kami tidak dibenarkan membawa sebarang peranti, maka sekolah ini membekalkan akhbar bagi membantu mereka mengetahui isu-isu semasa.

Pelajar SK Bandar Anggerik juga digalakkan mengisi buku Nilam selepas membaca sesuatu berita

"Sebelum kempen ini diadakan pun sekolah kami sudah memang melanggan akhbar setiap bulan," katanya.

Pada masa sama Zakaria, 55, berkata melalui pembacaan tersebut pelajar mereka dilihat memiliki idea yang bernas terutama dalam aspek penulisan.

"Pusat sumber sekolah kami juga berjaya melahirkan penulis muda dan karya mereka kami bukukan bagi menghargai kesungguhan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS