Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Keterbukaan PDRM kini sangat melegakan, kata Aziz

Keterbukaan sikap ditunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan meluluskan beberapa babak dianggap 'sensitif' dalam filem aksi thriller Sheriff: Narko Integriti diakui "sangat melegakan" pengkarya tempatan.

Pengarah dan pelakon berpengalaman, Aziz M Osman, berkata keadaan sekarang ternyata berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila ada banyak 'pantang larang' terpaksa dihadapi pengkarya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Aziz berkata, suatu ketika dulu karyawan seni akan berdepan dengan kekangan jika mahu menyentuh sisi-sisi gelap yang ada pada segelintir anggota PDRM.

“Kini, keterbukaan PDRM sangat-sangat melegakan terutama apabila kami (pembikin filem) sudah boleh bercerita perihal realiti di luar sana," katanya.

Pengarah dan penerbit itu menjelaskan sebelum ini jika ada karya yang mahu memaparkan isu salah guna kuasa dalam kalangan anggota polis, mereka perlu melalui tapisan tertentu yang banyak pantang-larangnya.

Pada masa sama Aziz, 61, menegaskan dia bukanlah menolak proses tapisan daripada PDRM malah memahami serta menghormati keperluan prosedur tersebut.

Dia yang mengarahkan filem Juang itu juga tidak menyalahkan pihak terbabit dalam urusan mendapatkan keizinan tersebut.

“Karyawan bukanlah sampai tidak boleh langsung hasilkan kisah kepolisian. Filem kami bukan dikekang, cuma ditapis.

“Saya tidaklah salahkan PDRM kerana kita perlu faham, kita dah 'ketuk rumah' orang, tidak boleh nak bercerita buruk," katanya lagi.

Polis pun manusia biasa

Tambah Aziz, keadaan berbeza hanya dapat dilalui penerbit dan pelakon veteran Yusof Haslam yang banyak mengarahkan drama serta filem kepolisan seperti Gerak Khas.

Hal itu kerana, katanya, Yusof mempunyai hubungan baik dengan PDRM dan tahu setiap pantang-larang yang ada.

Semalam Aziz memuat naik hantaran memuji keterbukaan PDRM apabila meluluskan skrip filem Sheriff: Narko Integriti yang disifatkannya dihasilkan dengan ikhlas serta rasa penuh kasih sayang.

Aziz juga mengucapkah tahniah kepada penerbit Skop Productions dan Astro Shaw kerana menghasilkan material yang membuka pekung dan nanah golongan itu serta isu yang selama ini menjadi tabu.

Filem berkisahkan polis tangkap polis itu mengetengahkan isu rasuah dalam kalangan PDRM dan akan mula ditayangkan di pawagam tanah air dan Singapura mulai hari ini.

Berkongsi kisahnya sewaktu diberi peluang untuk mengarahkan beberapa musim drama Gerak Khas, Aziz berkata, semangatnya pernah jadi luntur selepas skrip yang dihantar untuk tapisan tidak diluluskan PDRM.

Katanya, disebabkan hal itu, dia akhirnya menjadi malas untuk terus berkarya.

“Saya berpengalaman arahkan drama Gerak Khas selama beberapa tahun. Tapi ada cerita yang dibuat tidak diluluskan sebab tapisan itu buatkan pengkarya seperti saya jadi kurang semangat.

“Kalau banyak sangat tapisan, saya akhirnya jadi malas nak sentuh karya itu lagi,” katanya.

Aziz juga menganggap filem arahan Nam Ron, One Two Jaga, menjadi pembuka pintu kepada segala ruang yang membolehkan kisah sisi gelap polis dipaparkan.

“Saya berasa kagum apabila filem yang memulakan subjek rasuah PDRM dimulakan One Two Jaga. Pada masa itu saya fikir, macam mana boleh lepas (tapisan)?

“Jadi, kita perlu berterima kasih kepada One Two Jaga kerana kita dapat kenali penonton yang sudah lebih matang, mereka boleh menerima dan menilai sesebuah karya dengan baik.

Dulu, kata anak seniman M Osman dan Aifdah Es itu lagi, memang penonton bersikap skeptikal apabila ada karya menceritakan kisah positif polis.

Katanya penonton tidak dapat menerima dan menelan naratif itu bulat-bulat.

"Masyarakat tahu anggota beruniform itu juga manusia biasa yang akan melakukan kesilapan,” katanya.

Lihat Komen
ADS