Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afidavit jadi kemuncak usaha Zahid bela Najib - Megat Zulkarnain
Diterbitkan:  Apr 18, 2024 3:23 PM
Dikemaskini: Apr 22, 2024 3:42 AM
3

Afidavit sokongan Ahmad Zahid Hamidi kepada permohonan semakan kehakiman yang dibuat Najib Razak merupakan kemuncak usaha Presiden Umno terbabit membela sahabatnya yang kini di penjara.

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Megat Zulkarnain Omardin, berkata meskipun dicerca dan dipersoal pelbagai pihak termasuk mereka yang "pernah berkuasa di Putrajaya", pada hari terakhir Ramadan lalu terbuktilah keikhlasan Ahmad Zahid dalam usahanya membela bekas perdana menteri berkenaan.

"Dengan menandatangani afidavit menyokong petisyen Datuk Sri Najib, saya kira inilah kemuncak usaha Datuk Seri Zahid demi sahabatnya," kata Megat Zulkarnain.

Dia yang juga pengerusi Umno Selangor menambah, mungkin ada pihak bersuara sumbang dengan mempertikaikan langkah Ahmad Zahid.

Katanya, mereka mempersoalkan jika titah tambahan Yang di-Pertuan Agong itu sudah ada sejak 30 Jan lalu, mengapa Ahmad Zahid berdiam diri sebelum memberikan afidavitnya kemudian.

Pada masa sama, katanya, ada juga pihak yang membangkitkan isu berkenaan di parlimen dengan meminta penjelasan benarkan wujud titah tambahan tersebut.

Bagi Megat Zulkarnain, apa yang berlaku bukanlah suatu wayang atau politik murahan untuk meraih populariti.

"Ini bukan drama. Ini juga bukan cerpen yang boleh direka mengikut selera penulisnya. Sebaliknya ia menyangkut soal perundangan negara.

"Apabila sebagai orang yang mempunyai hak Datuk Sri Najib memfailkan pertisyen, tanpa ragu dan dalam keadaan sedar risiko yang mungkin ada di hadapannya, Datuk Seri Zahid tampil mengikut lunas perudangan memfailkan afidavit kerana bagi beliau usahanya kini sampai ke kemuncak melalui proses perundangan untuk membela sahabatnya," kata Megat Zulkarnain.

Tak sampai 24 jam

Semalam Ahmad Zahir menyokong dakwaan Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) daripada Agong agar bekas ahli parlimen Pekan itu - yang kini dipenjara di Kajang - menghabiskan baki hukumannya dengan tahanan di rumah.

Sokongan tersebut diberikan Ahmad Zahid menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Dia mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Jan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum yang bertarikh 29 Jan 2024.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi saya melihat dan membaca titah adendum, dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya dan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya betarikh 29 Januari 2024.

"Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama," dakwa Ahmad Zahid

Bagaimanapun untuk rekod semalam Tengku Zafrul mendakwa ada beberapa kesalahan fakta yang terkandung dalam afidavit Ahmad Zahid.

Justeru bekas Bendahari Umno Selangor itu sudah mendapatkan pandangan peguam dan akan membuat permohonan kepada mahkamah tinggi bagi memfailkan afidavit sendiri sekali gus membetulkan kesilapan fakta tersebut.

Megat Zulkarnain berkata, afidavit berkenaan ditandatangani Ahmad Zahid tidak sampai 24 jam selepas dia kembali dari Mekah kerana menunaikan umrah.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain mendakwa sejak Najib dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah, tidak pernah Ahmad Zahid berhenti mencari jalan untuk membela sahabatnya yang dipenjara itu.

"Walaupun ada yang cuba merekayasa kononnya Dato Seri Zahid tak berbuat apa. Walaupun ada yang cuba menangguk di air keruh kononnya mereka menjadi pembela ‘Bossku’.

"Hakikatnya jasad yang berada di sebalik tirai besi itu tahu sahabatnya (Ahmad Zahid) tidak pernah kenal erti jemu dalam mencari usaha mendapatkan pembelaan buat dirinya.

"Mengenali Datuk Seri Zahid, sedekah yang dihulur pun tak pernah nak dijaja apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya," dakwa Megat Zulkarnain lagi.

Lihat Komen
3
ADS