Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Zahid sokong Najib jalani tahanan rumah atas kapasiti presiden Umno
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Afidavit yang difailkan oleh Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong usaha bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dibuat atas kapasitinya sebagai presiden Umno.

Ketika berkata demikian, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan Lembaga Pengampunan dan menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong semasa mesyuarat lembaga adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

“Itu (Zahid menyerahkan afidavit) beliau lakukan sebagai presiden Umno, dan Peguam Negara tentunya bagi pihak Lembaga Pengampunan.

"Pendirian kita bahawa semua keputusan yang melibatkan raja-raja Melayu tidak boleh dicabar. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ini adalah prinsip (kerajaan), bukan sekarang, tapi sejak merdeka," kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri solat Jumaat di sebuah masjid di Kajang petang tadi.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April, Zahid, yang juga timbalan perdana menteri menyokong dakwaan Najib mengenai titah tambahan diraja supaya baki hukuman penjaranya digantikan dengan tahanan rumah.

Zahid mendakwa pada 30 Jan semasa mesyuarat di rumahnya di Country Heights, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya mengenai titah tambahan bertarikh 29 Jan.

Zafrul kemudiannya berkata terdapat kesilapan fakta dalam afidavit Zahid dan dia akan mendapatkan nasihat undang-undang dan menulis kepada Mahkamah Tinggi untuk membetulkan kesilapan itu.

Ditanya mengenai titah tambahan itu, Anwar enggan mengulas, dan sebaliknya berkata ia adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

"Semua pihak harus menerima hakikat itu dan terus berusaha memastikan keamanan, kestabilan dan pembangunan negara," katanya.

Terdahulu, Anwar turut ditanya mengenai cadangan peruntukan kepada wakil rakyat daripada pembangkang - dari segi syarat ditetapkan, dan kuantum pembayaran.

Perdana Menteri berkata ia bergantung kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Tiada syarat untuk menyokong perdana menteri, seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Rundingan (untuk peruntukan) akan tertumpu kepada negara yang stabil dan kukuh dari segi ekonomi," katanya.

Fadillah baru-baru ini berkata draf memorandum persefahaman (MOU) akan disediakan dan disampaikan kepada pembangkang untuk perbincangan lanjut, susulan pertemuan antara wakil kerajaan dan pembangkang di Sri Perdana di Putrajaya.

Lihat Komen
ADS