Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abaikan suara negatif di Kuala Kubu Bharu, kata Hannah

DAP menolak sekeras-kerasnya cubaan pihak tertentu menggerakkan kempen memboikot Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu 11 Mei ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Hannah Yeoh berkata gerakan boikot bukan sahaja memberi kesan buruk malah tidak sihat untuk rakyat di negara ini.

“Kita kena abaikan suara-suara negatif seperti ini. Kalau tinggal di rumah dan tidak keluar mengundi ini bukanlah satu tindakan produktif dan tidak baik bagi negara.

“Senang cakap tapi kerja tak ada, lebih baik kita kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Gerak anjuran Majalah Feminine' di Taman Tasik Menjalara, Segambut, hari ini.

Hannah berkata demikian mengulas dakwaan kempen 'tikam' Anwar di Kuala Kubu Bharu.

Exco Selangor , V Papparaidu sebelum ini mengesahkan wujud cubaan pihak tertentu menggerakkan kempen memboikot PH dalam PRK berkenaan.

Ini susulan sebuah NGO yang pernah bekerjasama dengan PH satu ketika dulu secara terbuka meminta pengundi India merosakkan undi masing-masing semasa PRK tersebut.

Presiden Pertubuhan Rapat Aman Malaysia A Rajaretinam berkata tindakan itu adalah sebagai cara menghantar mesej tidak puas hati mereka kepada kerajaan pusat khususnya DAP.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga menteri Belia dan Sukan berkata DUN Kuala Kubu Bharu telah dijaga dengan baik selama tiga penggal oleh bekas penyandangnya, Lee Kee Hiong.

“Saya percaya perkhidmatan beliau sangat bagus untuk pengundi Kuala Kubu Batu dan sebab itu mereka terus melantik beliau dan ini merupakan satu penghormatan kepada legasi beliau kerana beliau menjaga Kuala Kubu Baru dengan baik.

“Jadi, semua suara-suara yang suruh rakyat boikot itu, boikot ini, boikot jangan keluar undi itu adalah satu pergerakan yang negatif kerana hak mengundi ini adalah hak asasi semua rakyat Malaysia membuat keputusan untuk mereka,” katanya.

Untuk rekod, baru-baru ini Anwar berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan masyarakat India di negara ini.

Sambil menyebut beberapa program yang sedang dirangka, Anwar berkata adalah tidak adil untuk pihak tertentu menuduh dia tidak melakukan sebarang usaha untuk menyelesaikan masalah kaum India.

"Jika saya tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat India, anda berhak ‘menikam’ saya’,“ katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu selepas dia mewakili kawasan berkenaan sejak 2013.

Pada 4 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK berkenaan akan diadakan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pula pada 27 April.

Tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu terdiri daripada 51 peratus diikuti Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) manakala baki 1 peratus lagi kaum lain.

Lihat Komen
ADS