Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adam ingatkan Akmal: Yang saudara singgung itu presiden kami, PM kita
Diterbitkan:  Apr 20, 2024 10:11 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli mengingatkan rakan sejawatannya dalam Umno, Akmal Saleh agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ini selepas Akmal dilihat mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR berhubung permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

"Saudara Akmal Saleh mungkin boleh bertenang dan pandang kiri kanan sikit dalam mengeluarkan kenyataan sama ada peribadi mahupun rasmi.

"Yang disinggung oleh saudara itu presiden kami, perdana menteri kita semua. Mungkin saudara bukan “walanon” tetapi saudara tetap salah seorang ketua pemuda dalam gabungan parti pemerintah hari ini," kata Adam dalam hantaran di media sosial hari ini.

Terdahulu Anwar berkata afidavit yang difailkan Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong usaha Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dibuat atas kapasitinya sebagai presiden Umno.

Afidavit itu difailkan oleh timbalan perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

“Itu (Zahid menyerahkan afidavit) beliau lakukan sebagai presiden Umno, dan peguam negara tentunya bagi pihak Lembaga Pengampunan.

"Pendirian kita bahawa semua keputusan yang melibatkan raja-raja Melayu tidak boleh dicabar. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ini adalah prinsip (kerajaan), bukan sekarang, tapi sejak merdeka," kata Anwar.

Kenyataan Anwar itu mendorong Akmal menegaskan bahawa perintah tahanan rumah itu adalah berkaitan titah diraja, dan bukan soal presiden parti.

"Ini bukan soal presiden parti atau kerajaan.

"Ini soal sama ada kerajaan mahu menjunjung titah atau sebaliknya? Rakyat mahukan penjelasan, bukan alasan," kata Akmal menerusi Facebooknya.

‘Berhati-hati suarakan pandangan’

Mengulas perkara itu, Adam berkata Akmal perlu menonjolkan sikap hormat kepada perdana menteri, sepertimana hormat yang ditunjukkan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan terhadap Ahmad Zahid.

"Sebagaimana kami sepakat tonjolkan sikap hormat kepada presiden saudara, dengan sentiasa berhati-hati memilih perkataan dan menyatakan pandangan kalau pun dalam isu yang kadang amat fundamental dan mengesankan.

“Apa sangat harganya untuk saudara ambil sikap yang sama terhadap presiden kami, pimpinan utama kita, perdana menteri sendiri?’ soalnya.

Tambahnya, sebagai ketua pemuda dalam parti kerajaan, Akmal mempunyai akses luas dan penuh kepada pimpinan termasuk perdana menteri untuk menyuarakan pendapat.

"Apa pun perkara yang saudara ingin kemukakan mustahil tidak didengari, mustahil tidak dibalas.

"Mungkin saudara ada semangat tinggi untuk membela Datuk Seri Najib; itu ikrar saudara yang kita tidak pernah larang kalau pun ada berbeza pandangan.

“Cuma percayalah, menimbulkan suasana yang cenderung memulakan pergeseran sebegini tidak membantu pun dalam mencapai apa yang terbaik buat semua," kata Adam.

Lihat Komen
ADS