Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan mahu letak calon di KKB
Diterbitkan:  Apr 20, 2024 4:43 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Gerakan sekali lagi menyatakan keinginan untuk meletakkan calon di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu.

Kali ini, jawatankuasa pusat parti itu sebulat suara hari ini mengundi memihak untuk "mempertahankan kerusi" berkenaan.

Undian itu dibuat menjelang mesyuarat majlis tertinggi PN pada Isnin untuk memuktamadkan calon gabungan itu. Ketiga-tiga parti komponen PN dikatakan berminat untuk meletakkan calon mereka bagi PRK berkenaan.

“Kita akan bawa perkara ini (keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan) ke majlis tertinggi PN dan akan mempertahankan kerusi Kuala Kubu Bharu.

“Saya rasa kita ada kelebihan kerana Gerakan pernah menjadi calon Kuala Kubu Bharu sebelum ini.

"Walaupun kita tewas dalam pilihan raya lalu, Gerakan terus mengendalikan pusat khidmatnya untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum," kata Presiden Gerakan Dominic Lau.

Bagaimanapun, dia berkata Gerakan bersedia menerima sebarang kemungkinan, kerana keutamaan adalah untuk memastikan kemenangan PN pada PRK dan berkhidmat kepada rakyat Kuala Kubu Bharu.

Pada pilihan raya tahun lalu, Lee Kee Hiong dari DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu menentang Teoh Kien Hong dari Gerakan, Siva Prakash Ramasamy dari Muda, dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia dengan majoriti 4,119 undi.

Kerusi itu kosong selepas Lee meninggal dunia pada 21 Mac.

Pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung pada 11 Mei, manakala hari penamaan pada 27 April.

Lau sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa Bersatu dan PAS juga berhasrat untuk bertanding di kerusi itu, dan Gerakan telah mencadangkan lima calon berpotensi dan menawarkan beberapa sebab mengapa calonnya perlu diletakkan.

Menurut laporan media, PN mempunyai senarai calon berpotensi untuk PRK itu, dan keputusan akan dibuat pada mesyuarat majlis tertinggi yang akan diadakan pada Isnin jam 5 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS