Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Angkasa tawar diri jadi pengimport beras
Diterbitkan:  Apr 20, 2024 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menawarkan diri menjadi pengimport beras dari Thailand dalam usaha menjamin bekalan dalam negara mencukupi.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata perbincangan mengenainya telah berlangsung bersama badan-badan koperasi negara jiran ketika menghadiri Mesyuarat Pejabat Perniagaan Koperasi Rantau Asia Pasifik, awal tahun ini.

"Saya dah bincang dengan Menteri Koperasi Thailand dan kita menerima tawaran itu untuk mendapatkan bekalan beras dari mereka...dia setuju untuk menawarkan kepada Angkasa, sebab dia tahu kita menghadapi masalah beras.

"Perkara ini bukan senang sebab kita dah ada konsesi yang diberi oleh kerajaan kepada kumpulan tertentu, jadi kita harap dapat berunding dengan kerajaan.

"Kita akan ambil bahagian untuk ahli koperasi saja, kita ada lebih tujuh juta ahli dan kita nak memenuhi keperluan (tujuh juta ahli) ni lah dan ini memerlukan perbincangan antara pihak atasan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Angkasa Kedah di Alor Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata Angkasa kini dalam usaha meneroka bidang-bidang baharu dalam mencapai perolehan sebanyak RM73 bilion seperti yang disasarkan kerajaan menjelang 2030.

Beliau berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai dengan penerokaan bidang teknologi maklumat, keterjaminan makanan serta penerokaan sumber baharu seperti teknologi dan kenderaan elektrik.

Ternak ayam di Pahang

Terdahulu, ketika berucap merasmikan mesyuarat itu, Abdul Fattah berkata Angkasa sedang meneroka bidang perniagaan yang dapat menyelesaikan isu keterjaminan makanan.

"Contohnya di Pahang, sebanyak 32,000 ekor ayam diternak menerusi Projek Rintis Ternakan Ayam dengan kerjasama Koperasi Pahang yang kemudian diproses dan ditawarkan melalui kedai BA100 dan 15 outlet di Lembah Klang.

"Angkasa juga dalam proses membangunkan projek ternakan lembu pedaging yang melibatkan Angkasa Kedah dan Perlis dengan penglibatan empat koperasi sebagai permulaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS