Pemuda PKR (AMK) Selangor berkata pemimpin PN tidak layak bercakap mengenai isu rasuah terkait pilihan raya kecil yang akan datang.
Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor Mohd Fauzi Fadzil berkata sebelum pembangkang mahu mempersoalkan apa-apa isu di Kuala Kubu Bharu, mereka perlu terlebih dulu membersihkan imej sendiri yang terpalit dengan rasuah.
Katanya penglibatan PN - khususnya PAS - dengan aktiviti rasuah sudah terbukti di mahkamah seperti yang diputuskan di dua kerusi parlimen di Terengganu.
"Kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim, di Kuala Terengganu dibatalkan oleh mahkamah tinggi selepas hakim mendapati wujud unsur rasuah ketika kempen.
"PAS juga didapati terlibat dengan rasuah di parlimen Kemaman apabila kemenangan Che Alias Hamid semasa PRU ke-15 turut dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini beberapa pemimpin PN mempersoalkan peruntukan lebih RM5 juta diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bagi kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Antara tokoh yang mengecamnya - kerana dianggap sebagai rasuah pilihan raya - ialah Ketua Pembangkang DUN Selangor, Azmin Ali, dan pesuruhjaya PAS negeri itu Ab Halim Tamuri.
Menurut Mohd Fauzi, pengumuman peruntukan tersebut tidak patut dianggap sebagai 'gula-gula' menjelang PRK Kuala Kubu Bharu.
Hal itu kerana, katanya, ia tidak ditumpukan hanya kepada kawasan DUN Kuala Kubu Bharu bahkah menyeluruh di semua daerah MPSH yang turut meliputi DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.
"Justeru pengumuman peruntukan tersebut bukanlah dilakukan dengan niat untuk menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu kerana rancangan mengenainya sudah wujud lebih awal," katanya.
Keadaan itu, tambah Mohd Fauzi, berbeza dengan situasi dialami PN di Kemaman dan Kuala Terengganu.
Dalam kedua-dua kes tersebut, katanya, calon PN didapati memberi rasuah semasa tempoh berkempen.
"Kerana itu sangat tidak sesuai bagi parti politik yang sudah terbukti terbabit dengan amalan rasuah cuba untuk menuduh parti politik lain terlibat dengan rasuah tanpa bukti yang sahih.
"Semoga pengundi Kuala Kubu Bharu dapat membezakan yang mana kaca dan dan yang mana permata," katanya.
