Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 200 mayat ditemukan dalam kubur besar di hospital Khan Younis

Pekerja kesihatan menemukan sekurang-kurangnya 283 mayat manusia dalam satu kubur besar di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis, kata agensi pertahanan awam Gaza pada Isnin.

“Kru pertahanan awam mengeluarkan 73 lagi mayat daripada kubur besar itu, menjadikan jumlah kesemua mayat kepada 283 sejak Sabtu,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan dikeluarkan agensi itu.

Menurut kenyataan itu, kru pertahanan awam masih lagi mencari mayat dalam kubur itu.

Sebuah kubur besar dijumpai di perkarangan hospital itu pada Sabtu selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April setelah melakukan serangan darat selama empat bulan.

Ismail al-Thawabteh daripada pejabat media Kerajaan Gaza berkata 700 orang hilang sejak tentera Israel berundur dari bandar itu.

“Kami percaya terdapat beratus-ratus jasad masih hilang selepas dibunuh tentera Israel dan ditanam dalam satu kubur besar,” katanya kepada Anadolu.

Sekurang-kurangnya 34,151 warga Palestin maut dan 77,000 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, selain kemusnahan berskala besar dan kekurangan barangan keperluan asas.

Serangan Israel telah mengakibatkan 85 peratus rakyat Gaza hilang tempat tinggal selain daripada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut, sementara 60 peratus daripada infrastruktur yang rosak atau musnah, menurut PBB.

Israel didakwa melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Satu perintah sementara pada Januari memerintahkan Tel Aviv untuk menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan disampaikan kepada orang awam di Gaza.

-Bernama

Lihat Komen
ADS