Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dipenjara kerana curi sardin: Bekas DPP gesa garis panduan hukuman

Bekas timbalan pendakwa raya Samantha Chong meminta garis panduan hukuman yang konsisten selepas seorang warga emas dijatuhkan hukuman penjara sebulan kerana mencuri ikan sardin, pencuci mulut dan serbuk kopi.

“Hukuman mestilah berkadaran dengan berat kesalahan dan tahap tanggungjawab pesalah.

"Kita memerlukan garis panduan hukuman seperti di UK," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, garis panduan hukuman diperlukan untuk memastikan hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah konsisten dan mengambil kira semua faktor.

Jamaluddin Yusof, 64, mengaku mencuri 10 tin sardin, empat botol pencuci mulut, dan dua botol Nescafe dari sebuah kedai serbaneka di Parit Raja, Johor, pada 18 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan - yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun - di Mahkamah Majistret Batu Pahat di Johor minggu lepas.

Tertuduh yang merupakan duda merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara anak-anaknya.

Chong mencadangkan bahawa hukuman alternatif boleh digunakan dalam kes ini.

“Kos RM50/hari/banduan untuk makanan, keperluan asas, gaji kakitangan penjara dan lain-lain.

"Dalam kes ini 30 (sebulan penjara) darab 50, bersamaan RM1,500.

“Terdapat hukuman alternatif di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah 1954.

"Dalam kes ini, pesalah menjalani khidmat masyarakat dan mengekalkan pekerjaan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS