Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 helikopter tentera terhempas lepas bergesel di udara, 10 maut
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 11:29 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Dua helikopter tentera terlibat dalam kemalangan udara selepas bergesel antara satu sama lain ketika menyertai raptai di Lumut, Perak pagi ini.

Berdasarkan laporan awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kejadian itu membabitkan helikopter Fennec (M502-6) dan HOM (M503-3).

Mereka menyertai raptai tersebut sebagai persediaan untuk menyambut ulang tahun ke-90 Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kenyataan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula memaklumkan tiada mangsa yang terselamat dalam kejadian berkenaan.

Kata kementerian itu kedua-dua pesawat berkenaan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Selepas insiden malang itu berlaku, pesawat HOM terhempas di kawasan tangga Stadium TLDM Lumut, manakala satu lagi jatuh di kawasan di kolam renang di Komplek Sukan TLDM Lumut.

“Dukacita dimaklumkan kesemua kru di kedua-dua pesawat tiada yang terselamat,” katanya.

Sementara itu TLDM dalam kenyataan rasminya memberitahu kejadian berlaku pada jam 9.32 pagi.

"Insiden itu melibatkan 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru dalam HOM TLDM dan tiga lagi dalam Fennec TLDM.

"Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital TLDM Lumut untuk proses pengecaman," katanya.

TLDM juga, katanya, akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan," katanya.

Lihat Komen
ADS