Paling Popular
Terkini

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan lembaga penyiasatan untuk menyiasat kemalangan helikopter di Lumut, Perak.

Bercakap kepada pemberita, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Mohammad Ab Rahman mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Sudah semestinya apabila tragedi seperti ini berlaku, kita memang sangat sedih. Takziah kepada semua mangsa terlibat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Combat Shooting Club di Combat Baze di Kuala Lumpur.

Awal pagi tadi dilaporkan dua helikopter tentera laut bergesel di udara sebelum terhempas semasa sesi raptai di stadium Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak.

Menurut tentera laut, kesemua 10 orang di dalam dua helikopter itu - tiga dalam helikopter HOM (M503-3) dan tujuh dalam helikopter Fennec (M502-6) - terkorban dalam insiden itu semasa latihan untuk sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Dalam acara berasingan, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya sedang memikirkan sama ada untuk meneruskan sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 selepas nahas berkenaan.

"Saya percaya kita akan bincang sama ada untuk meneruskan sambutan itu memandangkan program itu dianjurkan oleh Tentera Laut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Raya Kementerian Pertahanan di Kem Kementah.

Dia juga berkata bahawa laporan interim insiden itu akan diberikan secepat mungkin.

Bagaimanapun, menteri itu tidak menyatakan jangka masa laporan itu akan dikeluarkan.

Khaled juga memberitahu pemberita bahawa dia akan melawat tempat kejadian dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video perlanggaran helikopter itu bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa dan mengganggu proses siasatan.

Rakaman mengerikan memaparkan dua helikopter yang bergesel di udara, sebelum terjunam ke tanah, tersebar di media sosial.

Berikutan nahas itu, helikopter HOM (M503-3) terjunam ke tangga stadium tentera laut, manakala helikopter lain terbabas berhampiran kolam renang kompleks sukan tentera laut.

Kedua-dua helikopter telah berlepas dari padang Sitiawan pada 9.03 pagi, sebelum tragedi itu berlaku.

Lihat Komen
ADS