Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS ramal BN, PH 'mati bersama' di Kuala Kubu Bharu
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

PRK KKB | Pemuda PAS yakin Kuala Kubu Bharu akan menjadi tempat BN dan PH "mati bersama" selepas kedua-dua gabungan membentuk kerajaan perpaduan lebih setahun lalu.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata hal itu kerana orang ramai menyaksikan bagaimana 'penyakit' yang ada pada Umno-BN kini menjangkiti PH.

Bahkan, katanya, 'penyakit' tersebut merebak dengan begitu cepat.

"Tatakelola sudah jadi tatakelaut," katanya menyindir, "maknanya, penyakit yang ada pada Umno berjangkit dengan begitu cepat kepada PH. Tak sampai dua tahun pentadbiran."

Dia yang juga ahli parlimen Alor Setar secara sinis berkata sebelum ini Umno "mati bersendirian" saja, dipercayai merujuk kepada kekalahan parti itu dalam PRU dan pilihan raya negeri (PRN).

"Kali ini nampaknya Umno dan PH boleh mati bersama. Sehidup, semati. Ini benar-benar perpaduan yang padu," katanya lagi.

Tambah Afnan Hamimi, kedua-dua parti itu akan mati sama ada perlahan-lahan atau secara mengejut, bergantung kepada jenis penyakit yang ada pada BN dan PH.

"Dalam pilihan raya kecil kali ni, (jika) orang Umno tak mahu penyakit tu berjangkit, boleh cari ubat. Ubat tu ada pada PN," katanya.

Majoriti penjawat awam sokong

Seramai 40,226 orang pengundi Kuala Kubu Bharu akan membuat pilihan bagi melantik wakil rakyat mereka pada 11 Mei ini selepas penyandang kerusi itu, Lee Kee Hiong, meninggal dunia pada Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon, manakala hari mengundi awal ialah pada 7 Mei.

Parti kerajaan akan diwakili calon dari PH manakala PN belum menyatakan secara jelas siapakah yang akan dipertaruhkan di situ.

Dalam PRN lalu PN meletakkan calon dari Gerakan bagi cuba merampas kerusi tersebut daripada mendiang Lee.

Afnan Hamimi mendakwa sebelum ini Umno menyalahgunakan kuasa semasa menjadi kerajaan dan 'penyakit' itu kini dialami oleh PH.

Dia juga mendakwa antara punca Umno ditolak pengundi pada pilihan raya sebelum ini adalah kerana parti terbabit banyak menggunakan jentera kerajaan selain tidak menghormati penjawat awam yang menyokong mereka sekian lama.

"Puluhan tahun Umno bertapak dalam kalangan masyarakat Melayu. Bahkan majoriti penjawat awam menyokong perjuangan Umno satu ketika dahulu.

"Namun, apabila Umno mula memperalatkan agensi serta jentera kerajaan untuk kepentingan diri, maka sedikit sebanyak berlaku protes dalam kalangan penjawat awam sehingga akhirnya majoriti mereka tidak lagi memilih Umno dalam pilihan raya yang lalu.

"Begitulah harga yang Umno terima, kerana sikapnya yang tidak menghormati penjawat awam, tidak tahu membezakan mana gerak kerja parti, mana gerak kerja pentadbiran Kerajaan.

"Jadi rosak punah ranah habis semua fungsi asal jentera dan agensi kerajaan," dakwanya dalam kenyataan di Facebook.

Justeru Afnan Hamimi mengajak ahli Umno di Kuala Kubu Bharu agar mengundi calon PN sebagai menunjukkan protes mereka kepada pemimpin parti berkenaan.

"Saya yakin ramai ahli Umno sangat tidak selesa dengan apa yang pimpinan mereka buat hari ini.

"Tunjukkan protes itu dengan keluar mengundi dan undi PN," katanya.

Lihat Komen
ADS